BERITA UTAMA
Peratusan pelajar DLP lulus BM, BI, Sains dan Matematik meningkat.

Peratusan pelajar DLP lulus BM, BI, Sains dan Matematik meningkat setiap tahun – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di sekolah menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan jumlah pelajar yang lulus mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun demi tahun.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini iaitu dari 2021 hingga 2023, subjek Bahasa Melayu merekodkan peratusan lulus tertinggi.

“Pencapaian calon (SPM) yang mengikuti kelas DLP menunjukkan peratus lulus cemerlang bagi mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu pada 2021, 97 peratus , 97.8 peratus bagi 2022 dan 97.9 peratus bagi 2023.

“Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris turut menunjukkan peningkatan iaitu 96.8 peratus calon lulus pada 2021 dan 97 peratus masing-masing pada 2022 dan 2023,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pangkalan Chepa) yang ingin tahu keberkesanan DLP dan tindakan KPM susulan bantahan pelaksanaannya di beberapa sekolah.

Untuk rekod, KPM memperkenalkan DLP di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Sains dan Matematik bermula 2016.

Fadhlina berkata, prestasi bagi dua mata pelajaran lain turut melonjak.

“Bagi subjek Sains, 91.6 peratus yang lulus bagi 2021, 92.8 peratus pada 2022 dan 92.3 peratus untuk 2023.

“Bagi mata pelajaran Matematik, sebanyak 91.4 peratus calon lulus pada 2021, 90.5 peratus (2022) dan 92.3 peratus (2023),” katanya.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, berkata KPM sentiasa mengambil langkah yang proaktif dalam menyelesaikan sebarang masalah berkaitan pelaksanaan DLP.

Jelasnya, pelaksanaan program itu adalah berdasarkan garis panduan terkini sebagaimana dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2024: Garis Panduan Pelaksanaan DLP bertarikh 19 Mac 2024.

“Pelaksanaan program ini juga selaras dengan perundangan sedia ada dan dasar pendidikan kebangsaan iaitu Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *