PAIPORTA, VALENCIA – Tiada apa yang dapat dizahirkan Raja Felipe VI dari Sepanyol selain daripada menyatakan baginda memahami kemarahan dan kekecewaan yang diluahkan rakyat negara itu khususnya penduduk di sini yang merupakan mangsa banjir.
Menurut Raja Felipe VI, banjir yang meragut lebih 200 nyawa penduduk di wilayah Paiporta merupakan “bencana besar.”
“Saya memahami kemarahan dan kekecewaan mereka,” titah Raja Felipe VI buat pertama kali secara terbuka susulan kunjungan baginda ke lokasi bencana banjir di sini, yang disambut dengan cemuhan dan kemarahan rakyat.
Dalam kunjungan pada Ahad, ratusan penduduk bertindak mencemuh dan membaling telur ke arah Raja Felipe dan Ratu Letizia ketika pasangan diraja itu turun padang meninjau keadaan mangsa banjir.
Kemarahan yang tidak dapat dibendung kerana bantuan lewat diterima sehingga meragut lebih 200 nyawa menyebabkan penduduk melemparkan lumpur dan telur ke arah Raja Felipe dan Ratu Letizia.
Tidak cukup itu, Raja Felipe juga berhadapan dengan laungan “pembunuh” ketika melawat Paiporta yang dilanda teruk, bersama Perdana Menteri, Pedro Sanchez dan Gabenor wilayah Carlos Mazon apabila penduduk tempatan menuduh pihak berkuasa gagal menguruskan bencana alam yang paling teruk pernah berlaku itu.
Dalam video yang dikongsi di akaun Instagram istana diraja, baginda menyeru orang ramai di seluruh negara untuk bersama-sama memberi harapan dan jaminan untuk mendampingi mangsa-mangsa banjir pada saat-saat yang sukar ini. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252