Oleh Rudysham Ab Raof
KEUTUHAN kerjasama antara Usim Education & Skills Development Sdn Bhd (Usim Education) dan SD Guthrie Ecogardens Sdn Bhd semakin menampakkan keberhasilannya apabila reaksi positif kedua-dua pihak untuk memecah ilmu kemahiran negara menjanjikan harapan baru seperti yang disarankan kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan baru-baru ini.
Menerusi kesepakatan itu, USIM Education dan SD Guhtrie Ecogardens akan melancarkan beberapa program kemahiran popular masa kini dalam usaha menarik lebih ramai pelajar dan pekerja menyertainya.
Ketua Pegawai Operasi Usim Education, Shamsul Kahar Haron berkata, USIM Education begitu berbangga apabila terpilih menjadi rakan strategik kepada SD Guthrie Ecogardens kerana semua tahu ia sebuah konglomerat yang amat disegani.
“Saya begitu teruja dengan kerjasama ini, apatah lagi ia membabitkan sebuah konglomerat perladangan negara. Sudah pasti pembentukan ini mampu memberi impak kepada USIM Education menapak lebih jauh dalam industri perniagaan.
“Saya amat berterima kasih kepada dua tokoh yang menjadi penghubung antara kami dengan SD Guhtrie Bhd. Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani (Pengerusi SD Guhtrie) dan Datuk Muhammad Haizuan Rozali (Pendaftar USIM) banyak bantu kami dalam hal ini.

“Terutama kepada Datuk Haizuan yang tidak pernah kenal erti lelah bantu Usim Education meskipun beliau adalah orang penting di universiti induk kami. Begitu juga Tan Sri (Dr Nik Norzrul Thani) terus menerus mahu melihat kami semakin dikenali di negara ini.
“Saya juga sudahpun mengadakan perbincangan secara bertentang mata dengan pihak SD Guthrie Ecogardens berhubung perkara ini dan mereka turut berkongsi ilmu dengan pihak kami untuk membangunkan beberapa program kemahiran,” kata Shamsul Kahar.
USIM Education turut menyerahkan kertas kerja kepada pihak SD Guthrie Ecogardens Sdn Bhd yang merangkumi cadangan kerjasama melaksanakan program sijil dalam bidang pengurusan air, mekanisasi automasi perladangan sawit serta profesionalisme golf.

Program itu bertujuan memperkukuh kebolehan peserta dalam pelbagai bidang berkaitan meningkatkan kebolehpasaran di peringkat industri serta professional.
Antara objektif utama dalam kerjasama itu ialah mewujudkan platform berkemahiran tinggi dalam bidang industri lebih khusus dan berfokus; memperkukuhkan kerjasama antara akademik dan industri untuk manfaat bersama.
Ia juga membabitkan penyediaan latihan yang relevan dengan keperluan semasa pasaran kerja; meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan menyediakan kemahiran professional yang diiktiraf serta menyediakan kursus jangka pendek yang boleh mempertingkatkan kemahiran teknikal peserta.
“Saya amat berharap pengukuhan strategik ini berpanjangan dan memberi kebaikan serta faedah dalam perniagaan antara kedua-dua pihak,” kata Shamsul Kahar.
Sementara itu, Ketua SD Guhtrie Ecogardens, Ezzaruddin Abdul Rahman, berkata beliau amat teruja dengan kerjasama membabitkan latihan kemahiran antara anak syarikat milik penuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Saya begitu gembira kerana apa yang saya mahukan dalam pembentukan kerjasama menjadi kenyataan bersama universiti awam. Inilah masa yang paling sesuai untuk kita menembusi pasaran tenaga mahir melalui warga tempatan.
“Saya berterima kasih kepada USIM yang menghantar anak syarikatnya (USIM Education) dalam melancarakan serta mengembangkan lagi keupayaan dalam pelbagai bidang kemahiran, terutama sektor perladangan.
“Kami akan memulakan program latihan di Pulau Carey, Pelabuhan Klang, Selangor. Saya amat berharap program bersama dilaksanakan secepat mungkin dan ia berterusan sehingga semua dapat manfaat bersama,” kata Ezzaruddin.
Ends
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252