IPOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak dan Kelantan melaksanakan gerak kerja menangkap harimau yang disyaki membaham dua mangsa sehingga maut, awal minggu ini.
Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, berkata satu perangkap dipasang hari ini di kawasan dikenal pasti sebagai tambahan perangkap yang dipasang semalam.
“Perangkap pertama telah kita pasang sebelum ini dan hari ini PERHILITAN Perak dan Kelantan akan memasang satu lagi perangkap.
“Kita juga ingin menasihati pengguna laluan JRTB (Jalan Raya Timur Barat) Gerik–Jeli agar tidak berhenti di tepi jalan atas faktor keselamatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yusoff tidak menolak kemungkinan harimau yang menyerang lelaki tempatan di Bersia, Gerik dan warga Myanmar di ladang cili di Batu Melintang, Jeli dekat Kelantan semalam ialah haiwan yang sama.
Beliau berkata, kemungkinan itu berdasarkan kedudukan dua lokasi kejadian berjarak hanya empat kilometer melalui JRTB Gerik–Jeli selain tempoh singkat.
“Jarak kedua-dua kejadian maut ini sangat dekat dan kemungkinan pemangsa yang sama memandangkan lokasinya boleh dikatakan bersebelahan,” katanya.
Yusoff berkata, pengguna perlu sentiasa berwaspada dan mengelak daripada melakukan provokasi, selain menyalurkan maklumat berkaitan hidupan liar kepada pihaknya menerusi talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Semalam, seorang lelaki warga Myanmar maut dengan paha kiri terputus, dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, JRTB Gerik–Jeli dekat Batu Melintang di Jeli.
Selasa lalu, seorang lelaki tempatan Adnan Ismail, 54, maut diserang harimau belang ketika turun dari rumah kongsi berdekatan kawasan hutan di KM79.2 JRTB Gerik–Jeli di Bersia, dekat Gerik. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
