PETALING JAYA – Hasil siasatan, kejadian 131 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB) pada Februari lalu didapati berlaku disebabkan kekerasan dan penderaan oleh beberapa pegawai Jabatan Imigresen.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkata, kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya itu berlaku antara 2020 hingga 2021 ketika mereka ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi, sebelum dipindahkan ke beberapa depot Imigresen, termasuk DISB.
“Beberapa pegawai Jabatan Imigresen di DISB, termasuk dua pegawai yang pernah bertugas di Kem Wawasan Langkawi sebelum ditukarkan ke DISB, didapati melakukan kekerasan melampau serta penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan etnik Rohingya sehingga mengakibatkan kecederaan kepada mereka.
“EAIC yang menjalankan siasatan berdasarkan aduan diterima dan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700), memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai terbabit kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) Jabatan Imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
EAIC juga turut memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis mengenai isu kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya di DISB dan Kem Wawasan Langkawi agar siasatan lanjut dijalankan.
Suruhanjaya itu menyenaraikan tiga lagi faktor yang menjadi punca tahanan melarikan diri, iaitu ketidakpekaan pegawai, kelemahan prasarana dan kegagalan dalam pemantauan.
“Bangunan DISB, yang merupakan bekas Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), mempunyai kelemahan infrastruktur yang tidak memenuhi standard diperlukan untuk berfungsi sebagai depot tahanan.
Pegawai kanan dan penyelia di DISB gagal memantau dan bertindak mengawal keadaan semasa insiden tersebut, tambahnya sambil memaklumkan cadangan penambahbaikan prasarana depot tahanan juga akan dikemukakan kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252