AMPANG JAYA – Sejumlah 114 ‘hot spot’ dikenal pasti di sekitar daerah ini sebagai lokasi berisiko tinggi tanah runtuh, termasuk satu daripadanya membabitkan kawasan lereng bukit di Jalan E6 Taman Melawati, di sini yang terbabit kejadian itu semalam.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata 114 lokasi itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 600 kawasan yang disenaraikan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan tiga klasifikasi mengikut zon.
“Kawasan (risiko tanah runtuh) ini boleh ditandakan sebagai zon kuning, jingga dan merah yang mana semuanya merekodkan lebih 600 lokasi.
“Untuk paling berisiko atau zon merah terdapat 114 kawasan termasuk kawasan tanah runtuh di Taman Melawati ini. Ini diikuti zon jingga atau kawasan berisiko yang membabitkan lebih 400 kawasan,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi tanah runtuh di Taman Melawati, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata struktur tanah runtuh di kawasan Taman Melawati berada di atas kawasan batu kapur dan adalah antara satu rantaian batu kapur yang panjang dari kawasan Hulu Klang di daerah Ampang Jaya sehingga ke Batu Caves.
“Apabila berlaku pergerakan air selama beberapa bulan di situ, maknanya akan mudah berlaku gelongsoran tanah dan sekali gus memberikan risiko kepada penduduk.
“Kita telah memberi peringatan atau pemakluman berhubung perkara ini sebelum ini, tetapi adalah mustahil untuk kita hendak pindahkan semua penghuni di sini.
“Namun apa yang penting kita berusaha melakukan pembaikan dan beberapa langkah susulan termasuk penyelenggaraan dalam memastikan keadaan selamat,” katanya. – BHNews
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252