Cropmate terbit 210 juta saham biasa baharu ke Pasaran ACE

Cropmate terbit 210 juta saham biasa baharu ke Pasaran ACE

KUALA LUMPUR – Cropmate Berhad (Cropmate), salah satu pemain utama dalam industri baja di Malaysia, telah menandatangani perjanjian taja jamin dengan Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) untuk tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

Terbitan IPO itu akan melibatkan terbitan awam 210 juta saham biasa baharu dalam Cropmate, mewakili 28.4 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, dengan tawaran untuk jualan sebanyak 50 juta saham sedia ada, mewakili 6.8 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 738 juta saham biasa.

IPO itu diperuntukkan seperti berikut, iaitu tawaran institusi 208.34 juta saham, mewakili 28.2 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan dengan 92.25 juta saham dikhaskan untuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), termasuk 42.25 juta saham biasa baharu dan 50.00 juta saham sedia ada.

Manakala 116.09 juta saham diperuntukkan kepada institusi lain dan pelabur terpilih.

Cropmate menawarkan tawaran runcit sebanyak 51.66 juta saham, mewakili 7 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan: dengan 36.90 juta saham untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia melalui pengundian, diperuntukkan sama rata antara bumiputera (mewakili 2.5 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan) dan bukan bumiputera (mewakili 2.5 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan).

Sebanyak 14.76 juta saham dikhaskan untuk permohonan oleh pengarah yang layak, pekerja yang layak, dan orang yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.

Pengarah Urusan Cropmate Berhad, Lee Chin Yok berkata, IPO tersebut menandakan peristiwa penting dalam perjalanan Cropmate kerana syarikat adalah pemain baja pure-play pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Kerjasama dengan HLIB akan membantu kami mengukuhkan kedudukan pasaran kami sebagai pengeluar baja yang mapan di Malaysia.

“Dana yang dikumpul akan digunakan untuk membiayai keperluan modal kerja seiring dengan aktiviti pengeluaran apabila perniagaan berkembang di bawah segmen baja khusus untuk memenuhi keperluan pengusaha kebun, terutama dalam pasaran durian yang semakin berkembang.

“Sumber-sumber ini juga akan menyokong peningkatan kepada kemudahan pengeluaran dan penubuhan makmal penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan inovasi,” katanya di sini hari ini.

HLIB akan bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, PenajaJamin dan Penaja Jamin Utama dan akan menaja jamin keseluruhan 51.66 juta IPO yang ditawarkan di bawah tawaran runcit.

Chin Yok menambah hasil dari IPO itu akan memainkan peranan penting dalam membantu mengembangkan keupayaan pembuatan syarikat, memastikan dapat terus membekalkan pasaran dengan baja berkualiti tinggi dan mengekalkan penubuhannya dalam sektor pertanian.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif HLIB, Lee Jim Leng berkata, pihaknya gembira dapat memainkan peranan penting dalam perjalanan IPO Cropmate Berhad.

“Kami amat percaya status penyenaraian Cropmate akan, tanpa ragu-ragu, meningkatkan penjenamaan dan syarikatnya serta profil di kalangan pemilik ladang dan kebun di Malaysia dan di rantau ini.

“Kami juga yakin penyenaraian ini akan menjadi satu langkah ke hadapan yang penting bagi syarikat,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *