PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) tidak akan dibentangkan pada mesyuarat ketiga persidangan Parlimen kali ini.
Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya akan membentangkan bacaan kali kedua RUU Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024 (RUU Mufti) pada sidang Parlimen yang bermula minggu depan.
“Tidak ada (perbentangan RUU35 pada sesi Parlimen minggu depan) belum lagi. Yang itu seperti mana yang diputuskan.
“Yang dalam sidang kali ini, yang kita akan bawa adalah berkaitan dengan RUU Mufti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Konvoi Misi Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah di sini, hari ini.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pindaan RUU Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) tidak dilakukan secara tergopoh-gopoh.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mengesyorkan proses pindaan itu dilakukan dengan teliti mengambil kira pandangan semua pihak sama ada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, termasuk pakar undang-undang antarabangsa.
Mengulas mengenai RUU Mufti , Mohd Na’im berkata, Kabinet sebelum ini sudah bersetuju supaya bacaan kedua dan ketiga dibentangkan di Parlimen kali ini.
“RUU ini dibentangkan untuk memperkukuhkan institusi kefatwaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, Labuan,” katanya.
RUU Mufti adalah antara empat rang undang-undang yang ditangguhkan daripada dibentangkan pada mesyuarat sebelum ini.
Tiga RUU lain ialah RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024. – Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

