Ibu tunggal bebas tuduhan bunuh anak

SEREMBAN: “Selepas ini, saya dapat bersama semula dengan anak perempuan dan anak lelaki,” kata A Mariyammah, ibu tunggal yang dibebaskan hari ini daripada pertuduhan membunuh seorang lagi anak, perempuan berusia enam tahun, empat tahun lalu.

Melahirkan rasa gembira selepas mendengar keputusan dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Rohani Ismail, wanita berusia 39 tahun itu juga bersyukur dan menegaskan dia tidak melakukan jenayah berkenaan.

“Saya gembira kerana memang tak buat benda itu. Saya ucapkan terima kasih kepada peguam dan selepas ini dapat tengok anak perempuan semula yang berusia sembilan tahun dan lelaki enam tahun,” katanya.

Dia tidak dibenarkan diikat jamin sejak ditahan polis susulan kejadian 5 September 2020 itu berikutan kes dihadapinya adalah kes bunuh.

Ketika itu, dua lagi anaknya, masing-masing baru berusia lima dan dua tahun yang kemudian diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada prosiding hari ini, Mariyammah diwakili peguam, S Paul Krishnaraja dan Amy Chong, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz.

Terdahulu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap wanita berkenaan selepas mengambil kira keterangan saksi dan hujahan pihak pembelaan serta pendakwaan.

“Setelah mendengar keterangan diberikan saksi dan selepas menimbang hujahan kedua-dua pihak serta berdasarkan penilaian menyeluruh atas semua keterangan, saya memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie.

“Dengan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri,” katanya.

Mariyammah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh anak perempuannya berusia enam tahun, antara jam 5.30 petang hingga lebih kurang 6.30 petang di Apartment Matahari Height, Jalan Persiaran Senawang 8 di Senawang, dekat sini.

Seramai 13 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula 2020. – Berita Harian


Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *