BERITA UTAMA
Faiz Fadzil

LKIM jawab isu kekurangan diesel nelayan di Sandakan

PUCHONG – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil maklum mengenai aduan nelayan di Sandakan, Sabah berhubung ketidakcukupan bekalan diesel untuk kegunaan vessel mereka.

Pengerusinya, Faiz Fadzil berkata, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak 70 juta liter diesel bersubsidi setiap bulan untuk kegunaan nelayan di Zon, A, B dan C seluruh negara.

Kata beliau, subsidi itu bertujuan untuk menampung sebahagian daripada kos minyak yang diperlukan vessel nelayan, bukan menampung keseluruhan kos.

“Oleh itu, isu ketidakcukupan bekalan diesel tidak seharusnya timbul sekiranya penggunaan diesel dilaksanakan mengikut kuota ditetapkan.

“LKIM juga telah melaksanakan pelbagai langkah memastikan tiada ketirisan dalam pemberian subsidi ini.

“Antaranya, melalui penetapan kuota bagi jualan diesel dan juga penggunaannya oleh setiap vessel. Ini bagi memastikan hanya nelayan yang layak menerima manfaat subsidi ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, media melaporkan nelayan di Sandakan dilaporkan mendakwa, mereka terpaksa mengurangkan perjalanan menangkap ikan secara drastif berikutan masalah mendapatkan diesel bersubsidi.

Persatuan Perikanan Sandakan (Tongkang) berkata, nelayan mengurangkan perjalanan dari empat kali sebulan kepada sekali, dan bimbang akan menjejaskan bekalan makanan laut di daerah itu.

 

Pengerusinya, Ng Chi Tshung mendakwa, berlaku penyelewengan dalam pengagihan bahan api bersubsidi itu dan mahu LKIM menyiasat punca kekurangan itu.

Menurut Faiz, LKIM telah melaksanakan pelbagai langkah memastikan tiada ketirisan dalam pemberian subsidi.

Malah, katanya, ia dilaksanakan melalui penetapan kuota bagi jualan diesel dan juga penggunaan bahan api itu oleh setiap vessel.

Bagaimanapun, ujar beliau, bagi memudahkan akses nelayan kepada bekalan itu, pusat jualan diesel baharu telah dibuka di beberapa jeti tambahan.

“Ini akan membantu mengurangkan tempoh menunggu nelayan untuk mendapatkan bekalan diesel.

“Di Sabah pula, memandangkan tiada kompleks LKIM, pusat juala diesel diuruskan oleh Persatuan Nelayan Sandakan di jeti-jeti swasta,” katanya.

Beliau berkata, sementara menunggu pusat jualan diesel baharu beroperasi sepenuhnya, LKIM telah menambah kuota diesel di jeti-jeti sedia ada untuk memastikan bekalan terus mencukupi.

LKIM, kata Faiz, akan terus memantau bekalan dan penggunaan diesel bersubsidi ini bagi memastikan bekalan yang mencukupi serta mengelakkan sebarang ketirisan.

Kata beliau lagi, LKIM komited untuk terus memberikan sokongan kepada komuniti nelayan dan memastikan bekalan diesel yang mencukupi untuk kelangsungan operasi mereka. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *