Amanah dakwa kenyataan Pemuda MCA bukti PAS punca Islamofobia

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa kenyataan Setiausaha Pemuda MCA, Saw Yee Fung yang mempertikaikan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjadi petunjuk bahawa PAS sendiri menjadi faktor yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan parti komponen BN.

Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, reaksi Pemuda MCA itu menunjukkan wujud kebimbangan terhadap kehadiran PAS dalam kerjasama politik yang sedang terbentuk menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, kenyataan tersebut turut menimbulkan persoalan terhadap pendirian MCA yang sebelum ini dilihat menafikan sebarang kerjasama antara BN dan PAS ketika Pilihan Raya Negeri Johor.

“Dalam PRN Negeri Sembilan, MCA akhirnya bekerjasama dengan PAS. Keadaan ini menimbulkan persoalan terhadap pendirian yang diambil sebelum ini dan bagaimana ia dijelaskan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz mendakwa PAS merupakan sebuah parti yang sanggup mengubah pendekatan politik mengikut keperluan semasa demi mendapatkan kuasa, sekali gus menyifatkan keadaan itu tidak akan menjamin kestabilan politik dalam jangka panjang.

Beliau berkata, slogan penyatuan ummah yang sering dibawa PAS juga didakwa lebih bersifat strategi politik berbanding berasaskan prinsip yang konsisten.

“Demi kuasa, PAS sanggup meninggalkan rakan politik terdahulu dan kini bekerjasama pula dengan UMNO. Kerjasama seperti ini tidak akan bertahan lama dan akhirnya boleh membawa kepada ketidakstabilan politik yang memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

Faiz turut mengimbas kerjasama politik PAS bersama DAP selepas Pilihan Raya Umum 2008 apabila parti itu membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Rakyat di beberapa negeri.

Menurut beliau, ketika itu PAS mempertahankan kerjasama berkenaan walaupun berdepan kritikan, namun kini mengambil pendirian berbeza apabila menolak sebarang kerjasama dengan DAP.

“Perubahan pendirian ini menunjukkan PAS mengubah pendekatan politik mengikut keadaan semasa, sedangkan sebelum ini pelbagai hujah dikemukakan bagi mempertahankan kerjasama tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Faiz turut menolak dakwaan Presiden PAS bahawa Pakatan Harapan (PH) menjadi pihak yang menyebarkan Islamofobia.

Sebaliknya, beliau mendakwa kenyataan dan pendekatan politik PAS yang sering menyentuh isu agama dan kaum menjadi antara faktor yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

“Dakwaan bahawa PH menjadi punca Islamofobia tidak berasas. Sebaliknya, pendekatan politik PAS sendiri yang sering memainkan sentimen agama dan kaum telah mewujudkan persepsi negatif terhadap Islam dalam kalangan pihak tertentu,” katanya.

Mengakhiri kenyataannya, Faiz mengibaratkan tindakan PAS sebagai pepatah Arab, “Dia yang memukul, dia juga yang menangis”, sambil mendakwa parti itu sering menyalahkan pihak lain terhadap isu yang menurutnya berpunca daripada pendekatan politik PAS sendiri.

Sehingga berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan balas daripada PAS atau MCA berhubung dakwaan yang dikemukakan oleh Amanah.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *