ISTANBUL – Serangan Amerika Syarikat (AS) mengena jambatan dan beberapa bandar di seluruh selatan dan tenggara Iran lewat Khamis ketika serangan berterusan untuk malam keenam berturut-turut, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan.
Penyiar nasional Iran IRIB melaporkan seorang terbunuh dan lapan lagi cedera dalam serangan di kawasan kejiranan di bandar pelabuhan selatan Bandar Abbas.
Serangan berasingan AS menghentam dua jambatan berhampiran Bandar Khamir di Wilayah Hormozgan, membunuh seorang, menurut penyiar itu.
IRIB turut melaporkan empat letupan di sepanjang pantai selatan Pulau Qeshm, manakala Agensi Berita Tasnim separuh rasmi berkata letupan kedengaran di Sirik, juga di Wilayah Hormozgan.
Tasnim berkata jambatan Bandar Abbas-Shiraz berhampiran Bandar Khamir antara yang disasarkan menyebabkan bekalan elektrik terputus di kawasan itu.
Tiga letupan kedengaran di barat Bandar Abbas dan dua lagi di bandar selatan Bushehr, menurut media Iran.
Agensi berita separuh rasmi Mehr menyiarkan rakaman yang menunjukkan keadaan selepas serangan di Bandar Abbas, mengatakan maklumat awal menunjukkan menara telekomunikasi mungkin telah disasarkan, walaupun perkara itu belum disahkan.
Mehr juga melaporkan letupan berhampiran lapangan terbang Iranshahr di tenggara Iran. Agensi itu memetik timbalan gabenor Wilayah Khuzestan untuk hal ehwal keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang sebagai berkata bahawa kawasan sekitar bandar Ahvaz di barat daya juga telah diserang AS.
Ketegangan serantau meningkat sejak Februari, apabila AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran, manakala Tehran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan negara Teluk yang menempatkan aset AS.
Iran dan AS menandatangani memorandum persefahaman pengantaraan Pakistan bulan lepas bertujuan menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai. Ketegangan, bagaimanapun, meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini di Selat Hormuz, dengan kedua-dua pihak berbalas serangan. – BERNAMA-ANADOLU
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L