Oleh: Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
BAHARU selesai PRN Johor, Negeri Sembilan (NS) pula menjadi destinasi menentukan hala-tuju politik. Walaupun Johor dan NS adalah Pilihan Raya Negeri (PRN), namun impak kepada landskap nasional adalah sesuatu yang tidak dapat dielak.
Ia adalah cabaran terbesar kepada konsep perpaduan yang dibentuk pasca PRU 2022. Perpaduan yang selama ini menjadi mantera di kalangan orang-orang politik rupanya mempunyai definisi terhad kepada kehendak nafsu politik dan bukan sesuatu yang universal yang perlu dipertahankan oleh semua pihak.
Idaman rakyat yang mahukan perpaduan diterjemahkan dalam pentadbiran negara nampaknya tidak dihargai oleh pihak tertentu.
Tidak pelik kalau pembangkang dari Pas dan PN membantah, tetapi di NS, UMNO yang merupakan anggota kerajaan perpaduan “tarik hand-brake” tengah jalan atas alasan MB Tok Min (Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun) tak dapat selesai krisis Istana!
Krisis Istana bukan dari penyelesaian MB, tetapi adalah dalam lingkungan eksklusif adat perpatih yang unik dan tersendiri. Melihat kerajaan perpaduan berjaya memerlukan satu azam politik yang tinggi dari semua pimpinan yang membentuknya.
Godaannya juga kuat yang cuba mengheret nafsu serakah ingin berkuasa menjadi fokus sesetengah pihak. Di NS alasan krisis Istana hanya hiasan memukau orang Melayu di sebalik hasrat utamanya kerana inginkan kekuasaan lebih dari kestabilan.
Kalaupun orang politik tidak campur tangan krisis istana, perundangan yang ada tetap akan mencari jalan keluarnya tersendiri sekarang atau di masa hadapan.
Rakyat NS menyaksikan leburnya cita-cita perpaduan gara-gara nafsu kuasa bertopengkan naratif Melayu terancam kerana DAP. Kebencian kepada PH (Pakatan Harapan) dan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjadi tema utama kempen di NS dan Johor, bukan keperluan stabiliti dan perpaduan.
DAP menjadi ‘hantu’ yang ditakuti dan digeruni orang Melayu untuk meraih simpati pengundi Melayu, manakala parti Melayu yang bersama dituduh ‘pemuja’ hantu-hantu DAP muncul mengganggu orang-orang Melayu!
Perpaduan bukan lagi merentasi semua kaum bangsa dan agama dalam membentuk Malaysia yang lebih aman dan sejahtera, tetapi perpaduan itu dihadkan hanya tercapai dengan mengeluarkan ‘hantu DAP’ dan PH dari keluarga perpaduan.
Betapa ironinya politik Malaysia yang dipukau dengan mantera politik perkauman dan kebencian antara kaum.
Pencapaian cemerlang kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh PMX dan DS Zahid (Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) serta rakan Sabah dan Sarawak seolah tiada membawa apa-apa makna, bahkan ditongsampahkan begitu sahaja.
Begitu juga pencapaian kerajaan di NS membawa kemakmuran dan kebaikan untuk ‘orang nogori’ dirompak tengah jalan dengan penarikan sokongan 14 ADUN UMNO sehingga ‘memaksa’ pembubaran berlaku.
Perpaduan terus menjadi semakin rumit apabila rakan BN/UMNO yang membentuk kerajaan perpaduan bersama kini bersalaman dengan pembangkang Pas/PN untuk menjatuhkan kerajaan yang dibentuk bersama sebelumnya.
‘Orang politik bernafsu besar’ sekali lagi telah mengecewakan para pengundi yang saya yakin mahukan perpaduan dan kestabilan. Pengundi hanya perlu membawa penilaian yang wajar dan rasional ke pusat-pusat pengundian untuk menentukan siapakah yang bernafsu besar dan siapakah sebenarnya berusaha mencapai kestabilan dan kebaikan untuk rakyat.
Dari sudut agama, biarlah rakyat menjadi saksi yang adil kerana sengaja membelakangkan kesaksian yang adil adalah tergolong dalam dosa besar yang utama (akbar al kabair) yang akan dipersoalkan kelak di hadapan Allah.
Saya yakin hayat perpaduan perlu diselamatkan dari terus diasak oleh nafsu kuasa yang mahu melihat kepentingannya dipelihara dari kepentingan rakyat ramai.
Pilihlah kestabilan dan perpaduan dan berpalinglah dari mereka yang hanya mahu memuaskan nafsu kuasa, justeru menggadaikan kestabilan yang dinikmati.
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Timbalan Presiden Parti Amanah
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L