BERITA UTAMA

Fattah, Fazura bercerai talak satu

SHAH ALAM: Selepas tujuh tahun, pasangan pelakon terkenal, Fattah Amin dan Nur Fazura sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, di sini, hari ini.

Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 33, melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Abdul Malek Soleh pada jam 9.45 pagi tadi, lapor Berita Harian.

Ini selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Selepas talak dilafazkan, Hakim Syarie kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu antara Fattah dan Fazura atau nama sebenar, Nur Fazura Sharifuddin, 40.

Sebelum ini, mahkamah menangguhkan kes perceraian susulan menerima cadangan baharu daripada defendan yang mahu kes itu diselesaikan secara baik.

Ketika prosiding kes pertama pada 25 September lalu, Fattah enggan menceraikan Fazura atas alasan masih lagi menyayangi isterinya, manakala Fazura nekad mahu berpisah.

Bagi membuktikan rasa sayang terhadap Fazura, Fattah mengirimkan jambangan bunga, kek dan kad ucapan pada hari ulang tahun kelahiran isterinya pada 27 September lalu.

Meskipun sedang berdepan kemelut rumah tangga, namun Fattah tetap mendoakan semoga isteri tercinta dikurniakan kebahagiaan dalam kehidupan.

Terdahulu, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran dimuat naik.

Tidak cukup itu, kisah rumah tangga Fazura dan Fattah dibincangkan dalam laman sembang hingga menarik perhatian netizen.

Pada 13 September lalu, BH melaporkan, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.

Butiran lanjut tidak diperincikan mengenai permohonan cerai, namun, ia mengejutkan ramai pihak. Sehingga kini, isu yang berlaku antara Fazura dan Fattah masih menjadi tanda tanya.

Bagaimanapun, Fattah dilapor berkata, dia terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.

Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.


Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *