KUALA LUMPUR: Pelakon Rita Rudaini mendedahkan terpaksa menanggung sendiri segala kos rawatan anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 15, di pusat perubatan swasta kerana polisi perlindungan insurans sudah luput.
Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 48, berkata, Rayyan memang mempunyai polisi insurans tetapi tidak pernah digunakan sejak bayi lagi.
“Saya tak memegang polisi perlindungan insurans berkenaan.
“Namun, ternyata polisi perlindungan insurans itu sudah ‘tamat’ hampir 13 tahun kerana ‘pembayar’ sudah berhenti buat pembayaran,” katanya kepada Harian Metro.
Mengenai polisi insurans berkenaan, kata Rita, dia juga ada mengambil perlindungan insurans lain untuk Rayyan, tetapi juga ‘lapsed’ ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya nekad buat polisi insurans baharu untuk Rayyan dengan syarat akaun lama ditutup, tetapi malangnya ‘pembayar’ tidak mahu beri kerjasama walaupun ejen insurans sudah beri penerangan, tandatangannya hanya percuma sahaja.
“Jadi, saya tidak dapat buat polisi insurans untuk Rayyan yang sama dengan saya serta adiknya, Airit Qaqa Arjuna, 13,” katanya.
Berkongsi perkembangan kesihatan Rayyan, kata Rita, dia bersyukur Rayyan sudah selamat menjalani rawatan sepanjang seminggu di pusat perubatan berkenaan.
Katanya, dia akan berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk dua anaknya biar apapun terjadi.
“Alhamdulillah, semuanya sudah selamat. Hampir seminggu saya dan adiknya ‘berumah tangga’ di hospital.
“Terima kasih kepada adiknya kerana korbankan masa sekolah dan aktiviti untuk menjaga abangnya bersama saya.
“Saya selalu berpesan pada anak-anak, kita senang dan susah sama-sana. Kita kena sentiasa ada untuk masing-masing.
“Terima kasih kepada ahli keluarga yang selalu ada untuk kami, terima kasih juga kepada cikgu, doktor dan jururawat,” katanya.
Terdahulu, Rita berkongsi mengenai dirinya terpaksa menanggung segala kos rawatan perubatan anak sulungnya yang bermula dari insiden patah tangan sehingga buka ‘plate’ (buka besi) kerana polisi insurans anaknya sudah luput, sekali gus mencuri perhatian netizen dalam media sosial.
Untuk rekod, hasil perkahwinan terdahulu, Rita dikurniakan dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13. – Harian Metro
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252