BERITA UTAMA

Imigresen gagalkan taktik sindiket guna acara sukan bawa masuk warga Bangladesh

PUTRAJAYA: Warga asing menggunakan modus operasi baharu dengan menjadikan penganjuran acara sukan sebagai taktik untuk menyusup masuk ke negara ini sebelum dipercayai bekerja secara haram.

Taktik itu dibongkar Jabatan Imigresen dengan tertangkapnya 21 warga Bangladesh termasuk tiga anggota sindiket dalam operasi khas di Taman Maluri, dekat Cheras Khamis lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata modus operandi sindiket adalah membawa masuk warga asing, dalam kes ini dari Bangladesh, dengan menyamar sebagai atlit yang mana warga asing terbabit turut mengenakan pakaian sukan.

Beliau berkata, ia terbukti apabila pihaknya turut menemukan surat jemputan bagi menyertai pertandingan sukan berserta jadual pertandingan di negara ini yang dipercayai palsu ketika serbuan jam 10.38 pagi Khamis lalu.

“Siasatan mendapati sindiket ada menempah tiket pulang ke Bangladesh, selain turut menempah bilik penginapan di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur sehari sebelum tarikh perlawanan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kadar bayaran dikenakan sindiket kepada setiap warga asing terbabit adalah antara RM2,000 hingga RM5,000 seorang, dengan sindiket dipercayai sudah beroperasi selama empat bulan,” katanya.

Mengulas serbuan itu, Zakaria berkata hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan menahan tiga lelaki warga Bangladesh dipercayai sebagai anggota sindiket.

Katanya, dua daripada mereka memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), manakala seorang lagi sudah tinggal lebih masa.

“Kita turut menahan 18 lelaki warga Bangladesh berusia antara 21 hingga 33 tahun di lokasi sama,” katanya.

Semua warga asing terbabit dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(3), Seksyen 15(4) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63, serta Peraturan 39(b) Peratutan-Peraturan Imigresen 1963. – Berita Harian


Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *