Batu Gajah: Seramai 500 pegawai dan anggota polis dikerah bagi memastikan kelancaran perlawanan ulangan Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) di Stadium Perak, di sini, malam ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, 500 kekuatan yang ditugaskan itu tidak hanya bertumpu mengawal kawasan stadium, sebaliknya meliputi keseluruhan aspek termasuk menjaga lalu-lintas dan persediaan di luar stadium yang membabitkan keseluruhan pusat bandaraya Ipoh.
“Mungkin ada mengatakan jumlah 500 polis itu terlalu besar untuk mengawal stadium, sedangkan kita bukan hanya jaga stadium. (Tetapi) kita juga menjaga lalu-lintas, di sekitar dan lain-lain.
“Pada masa sama angka 500 polis itu berada bukan hanya di stadium, sebaliknya di persekitaran keliling stadium serta di luar kawasan stadium dan di pekan Ipoh. Itu tafsiran saya mengenai 500 keanggotaan itu yang bukan hanya duduk di (dalam) stadium.
“Apa juga insiden yang berlaku. Mereka sudah disiapsiagakan agar akan mudah dikerahkan untuk membantu sebarang kemungkinan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taman Angkat AMANITA 2024 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di Dewan Konvensyen Pusing, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohamad.
Azizi dalam pada itu menasihati penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak bermusuhan sama ada di dalam mahupun di luar padang, sebaliknya sentiasa berhemah mematuhi peraturan.
“Bertarunglah secara bijak, strategik, dan kehebatannya ditonjolkan di padang. Penyokong harus melihat perlawanan ini sebagai program yang sihat untuk negara, masyarakat dan individu.
“Kenapa harus dicemarkan dengan insiden tidak bermoral, tidak berintegriti dan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak yang saya klasifikasikan sebagai mereka yang belum cukup matang,” katanya.
Perlawanan ulangan Liga Super antara Perak FC dan JDT FC di Stadium Perak malam ini diadakan susulan perlawanan kedua-dua pasukan itu pada 17 Ogos lalu ditangguhkan ke suatu tarikh lain akibat hujan dan keadaan padang berbecak.
Biarpun sewaktu perlawanan pada 17 Ogos lalu hanya sempat berlangsung selama empat minit, namun ketika itu dilapor lapan individu termasuk seorang remaja berumur 16 tahun ditahan selepas bertindak membaling botol ke arah anggota polis bertugas, selain dari melakukan kekecohan serta provokasi mengancam ketenteraman di tempat awam. -Harian Metro
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

