TAPAH – Anggota bomba terbabit operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang hilang di Gunung Batu Putih, di sini terpaksa bermalam di punca Gunung Rayu hari ini, meskipun pencarian ditangguhkan jam 6 petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata semua 12 anggota terbabit memilih berbuat demikian bagi memudahkan mereka untuk menyambung pencarian jam 8 pagi esok.
“Meskipun pasukan bomba memasuki kawasan operasi pagi tadi menggunakan pesawat AW139 yang diturunkan di Bukit Berapit 2, namun perjalanan berjalan kaki menyusuri permatang gunung untuk sampai ke kawasan Kem Sukaneka mengambil masa selama 5 jam,” katanya melalui kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata tumpuan pencarian pasukan bomba hari ini bermula dari simpang menuju Kem Sekali iaitu lokasi antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu.
“Ia berdasarkan maklumat semasa dan garis masa perjalanan mangsa serta pasukan penyelamat sebelum ini.
“Operasi pencarian turut digerakkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan keanggotaan yang lebih ramai, namun saya tiada maklumat penuh mengenainya.
“Cuma pihak JBPM sudah menyalurkan maklumat berkaitan fokus lokasi pencarian di sekitar Kem Sukaneka dan Gunung Rayu,” katanya.
Terdahulu,penemuan botol air dan bungkusan jajan serta tapak kaki menjadi petunjuk terbaru dalam operasi SAR mangsa yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian pada 23 Mei lalu.
Jejak itu ditemukan di laluan Kem Sukaneka menuju Gunung Rayu semalam.
Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi 23 Mei lalu menerusi laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Beliau dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti.
Bagaimanapun, Jaslinda dilapor meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat MGP pada jam 7.30 pagi Ahad lalu. – BERITA HARIAN
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001