Razifi hormat pandangan semua pihak

PUTATAN: PKR menghormati pandangan sesetengah pihak yang berpendirian bahawa parti politik tempatan layak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, bagaimanapun ada juga rakyat Sabah yang sedar bahawa usaha membawa kemajuan dan kesejahteraan negeri adalah tanggungjawab bersama kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Sementara saya hormati pandangan itu, saya ingat ramai juga dari kalangan penduduk Sabah menyedari bahawa membawa kesejahteraan di sini adalah tanggungjawab bersama antara Persekutuan dan juga (kerajaan) negeri.

“Kaedah paling baik sebenarnya ialah kalau ada persefahaman dan semangat saling menghormati bahawa ini tanggungjawab bersama di mana ia perlu bergerak seiringan… itu pandangan saya dan pandangan PKR.

“Sama juga pandangan (parti) yang berlainan itu. Saya pasti mereka ada asas masing-masing. Sebab itu, kepada PKR Sabah, nasihat saya supaya (hormati) kalau kita ada pandangan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Kemas16 dan Pop25 Sabah bertempat di Hotel Pan Borneo, di sini, hari ini.

Selain itu, Rafizi berkata perkara penting menjadi keutamaan pihaknya adalah tidak membiarkan rakyat negeri ini terabai disebabkan sentimen dimainkan mana-mana parti politik.

“Kita tidak boleh biarkan rakyat terkontang-kanting sementara ahli politik bermain macam-macam sentimen. Kita (seharusnya) bantu dan perhebatkan khidmat kita, itu sebenarnya yang kita tumpukan.

“Akhirnya, kita kena pulangkan kebijaksanaan memilih (parti yang memerintah ketika (PRN17) itu kepada rakyat. Apa pun keputusan rakyat untuk kerajaan Persekutuan dan Sabah mesti saling memikul beban yang ada.

“Di mana beban kerajaan negeri dan Persekutuan perlu dilaksanakan dengan baik. Sebenarnya yang terbaik untuk rakyat Sabah ialah gabungan itu, barulah rakyat tidak terkontang-kanting sementara semua parti ada pandangan masing-masing,” katanya.

Mengulas jalinan kerjasama antara parti dalam PRN-17, beliau berkata perkara itu akan terus dibincangkan dalam kerangka semangat Kerajaan Perpaduan.

“Sebenarnya semua parti yang ada di Sabah ini – di mana mungkin di peringkat Sabah ada sedikit perbezaan pandangan – tetapi mereka adalah anggota dalam Majlis Kerajaan Perpaduan di pusat termasuklah Parti Warisan (WARISAN), UMNO, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sebagainya.

“Jadi proses rundingan itu akan berlaku seperti diarahkan dan dipantau pimpinan pusat,” katanya. -ND


Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *