WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengingatkan Israel supaya tidak menyerang infrastruktur berkaitan minyak di Iran.
Pada masa sama, beliau memaklumkan sedang berusaha mengumpulkan dunia untuk mengelak kemungkinan perang habis-habisan yang semakin kerata risikonya di Asia Barat.
Bagaimanapun, pendahulunya, Donald Trump, yang kini berkempen untuk satu lagi penggal sebagai Presiden AS, kuasa, bertindak lebih jauh dengan mencadangkan Israel sepatutnya menyerang tapak nuklear republik Islam itu.
Membuat kejutan, buat kali pertama di bilik taklimat Rumah Putih, Biden berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ‘harus mengingati’ sokongan AS kepada Israel apabila memutuskan langkah seterusnya.
“Jika saya berada di kedudukan mereka, saya akan memikirkan alternatif lain berbanding menyerang loji minyak,” kata Biden kepada pemberita.
Beliau ditanya soalan itu berdasarkan kenyataan sehari sebelumnya bahawa Washington sedang membincangkan kemungkinan serangan seumpamanya dengan negara sekutu.
Biden berkata, Israel masih belum membuat kesimpulan bagaimana dan apa yang akan mereka lakukan sebagai tindakan balas terhadap serangan peluru berpandu balistik besar-besaran oleh Iran ke atas Israel pada Selasa.
Kenyataan Biden pada Khamis itu menyebabkan harga minyak melonjak.
Sebarang kenaikan jangka panjang boleh menjejaskan peluang Naib Presiden AS, Kamala Harris, calon Demokrat menentang Trump dari Republikan pada pemiolihan Presiden AS 5 November ini, yang mana kos sara hidup menjadi antara isu utama.
Sementara itu, Trump, yang berkempen di Carolina Utara, menyuarakan pandangan yang jauh lebih provokatif mengenai apa yang difikirkannya sebagai tindak balas yang sepatutnya terhadap Iran.

Merujuk soalan yang dikemukakan kepada Biden minggu ini mengenai kemungkinan Israel menyasarkan program nuklear Iran, beliau berkata itulah yang sepatutnya dilakukan oleh Israel.
“Mereka bertanya kepadanya (Biden), apa pendapat anda mengenai Iran, adakah anda akan menyerang Iran?.. dan beliau menjawab, ‘Selagi mereka tidak menyerang peralatan nuklear.’
“Sepatutnya, itulah yang perlu anda serang, bukan? Saya rasa beliau (Biden) salah dalam hal ini, serangan nuklear dahulu dan fikirkan mengenai yang lain kemudian,” kata Trump di sebuah acara kempen di Fayetteville, dekat sebuah pangkalan tentera AS yang besar.
Trump menyentuh mengenai peningkatan ketegangan terkini di Asia Barat, namun beliau mengeluarkan kenyataan keras minggu ini, menyalahkan Biden dan Harris atas krisis terbabit.
Biden berkata, beliau melakukan yang terbaik untuk mengelak krisis terus memuncak di Asia Barat, di mana Israel mengebom Lubnan dalam usaha untuk menghapuskan Hizbullah yang disokong Iran.
“Perkara utama yang boleh kita lakukan adalah cuba mengumpulkan seluruh dunia dan sekutu kita untuk mengambil bahagian… untuk mengurangkan ketegangan ini.
“Bagaimanapun, apabila anda mempunyai proksi (Iran) yang tidak rasional seperti Hizbullah dan Houthi (Yaman)… ia adalah perkara yang sukar untuk ditentukan,” katanya.
Biden bagaimanapun mempunyai kata-kata keras untuk Netanyahu, yang hubungan dengannya agak renggang sekarang, ketika beliau berusaha untuk menguruskan tindak balas Israel susulan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel.
Perdana Menteri Israel itu berulang kali tidak mengendahkan gesaan Biden untuk menahan diri daripada bertindak keterlaluan di Lubnan dan di Gaza, yang membunuh hampir 42,000 rakyat Palestin. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252