BERITA UTAMA
Isu sijil halal tak jejas kerjasama Umno-DAP di Mahkota, kata Nga

Isu sijil halal tak jejas kerjasama Umno-DAP di Mahkota, kata Nga

TELUK INTAN – Pergeseran berkaitan isu pensijilan halal tidak sesekali menggugat persefahaman UMNO dan DAP yang kini bersama dalam kerajaan perpaduan.

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, ia juga tidak akan menjejaskan kerjasama jentera dua parti itu menjelang PRK Mahkota pada 28 September ini.

“Yang penting, kami akan sokong calon kerajaan perpaduan. Perselisihan faham (antara Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok) biar pucuk pimpinan yang selesaikan.

“Tiada sesiapa yang terganggu. Fokus kita ialah memenangkan calon kerajaan perpaduan, tidak kira dia dari parti mana, (asalkan) dia mewakili kerajaan perpaduan, DAP dan seluruh jentera parti akan bertungkus lumus turun padang beramai-ramai untuk bantu,” katanya selepas majlis perasmian parkir awam Hospital Teluk Intan di sini.

Beliau ditanya adakah pergeseran antara Akmal dan Kok akan menjejaskan kerjasama UMNO serta DAP pada PRK Mahkota.

Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah diumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Mahkota.

Semalam, media melaporkan Kok mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Ahli Parlimen Merlimau itu menerusi firma Sankara Nair and Partners, menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Dr. Akmal atas dakwaan putar belit kenyataannya berhubung isu pensijilan halal.

Nga berkata, sokongan kepada UMNO pada PRK Mahkota juga sebagai manifestasi membalas budi kerjasama jentera UMNO ketika DAP memenangi PRK Kuala Kubu Bharu.

Saya ucap ribuan terima kasih kepada kawan-kawan UMNO, saya percaya setiakawan amat penting untuk pastikan ekonomi dan politik negara kita stabil. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *