PETALING JAYA – Pejuang tidak akan bertanding pada PRK Mahkota, tetapi menyokong Perikatan Nasional (PN) yang belum menerima permohonannya menyertai gabungan itu.
Presidennya, Mukhriz Mahathir berkata, Pejuang berpegang teguh kepada prinsip akan bersama pihak, selain UMNO.
“Kita sudah bincangkan perkara ini secara dalaman dan kita rasakan belum sesuai untuk Pejuang menawarkan diri bertanding dalam PRK (Mahkota).
“Ada juga pihak lain yang minta tolong, jadi kita akan membuat keputusan. Secara umumnya, saya pernah katakan sebelum ini pun di mana ada UMNO kami mesti ada, jadi di situ boleh agaklah siapa yang kita akan sokong,” katanya dipetik Harian Metro dalam sidang media sempena perjumpaan ahli Pejuang di Kluang, Johor.
Beliau berkata, sudah lama Pejuang menggerakkan jenteranya melalui NGO Melayu di Kluang sebelum PRK Mahkota diadakan lagi.
“Di Johor, Barisan Nasional adalah kerajaan dan disokong juga Pakatan Harapan (PH), jadi nampaknya kita kena sokong PN. Bukan satu perkara kekok sebab sebelum ini kita bukan setakat menyokong PN, tetapi jentera kami membantu mereka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Pejuang akan menggunakan pendekatan menubuhkan gabungan baharu sebagai pilihan bagi menyertai PN menjelang PRU16. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252