BATU PAHAT – Polis mengesan pemandu kereta dalam insiden langgar lari yang menyebabkan seorang pelajar lelaki cedera di KM 146.8 Jalan Johor Bahru-Melaka di sini, pada petang Ahad lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, kejadian dipercayai berlaku pada jam 4.35 petang.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika pelajar berusia 14 tahun itu menunggang motosikal dari arah Sungai Nibong hendak keluar simpang ke arah Sarang Buaya.
“Ketika sedang membelok ke kanan, tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah Batu Pahat dipercayai dipandu laju terus melanggar motosikal tersebut.
“Kereta tersebut juga tidak berhenti di tempat kejadian dan sehingga kini pemandunya belum tampil di mana-mana balai polis bagi membuat laporan,” katanya.
Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal itu kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, lapor Astro Awani.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Jika sabit kesalahan hendaklah dihukum denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Polis turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian agar tampil membantu siasatan polis.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkenaan kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Norman Ismail di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Batu Pahat di talian 012-7471229 atau di mana-mana balai polis berhampiran atau hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252