PUTRAJAYA: Semua Ketua Setiausaha (KSU), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan ketua jabatan diminta meneliti semula dasar, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lama serta lapuk di kementerian, kerajaan negeri serta jabatan masing-masing.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata dasar, peraturan dan SOP yang sudah lapuk berpotensi untuk membuka ruang kepada salah guna kuasa.
Katanya, ia juga membuka peluang kepada penyelewengan dan rasuah.
“Saya memberi perhatian serius berhubung isu tatakelola, salah guna kuasa termasuk kes tatatertib yang membabitkan rasuah dan pecah amanah.
“Oleh itu, saya memberi teguran dan mengingatkan semua KSU, SUK dan ketua jabatan supaya meneliti semula dasar, peraturan dan SOP yang lama serta lapuk,” katanya menerusi perkongsian pada akaun Facebook miliknya hari ini.
Shamsul Azri berkata dasar, peraturan dan SOP perlu ditambah baik selaras dengan prinsip tatakelola yang baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan dan keberkesanan.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Nasional Bilangan 2/2024.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki serta wakil SUK. -BH Online
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252