KUALA SELANGOR – Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof sah bercerai talak satu dengan Ira Kazar, di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, pada Khamis.
Hakim Syarie Mohd Faizal Habib membuat pengesahan cerai itu selepas berpuas hati dengan pengakuan Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, selepas wujud pelanggaran taklik, lapor Sinar Harian.
Peguam syarie yang mewakili Syamsul, Azmi Rais berkata, mahkamah mengesahkan berlakunya pelanggaran lafaz taklik selepas Ira mengakui membuat hantaran di media sosial.
“Ira telah melanggar taklik sebanyak lima kali selepas membuat hantaran di media sosial dalam keadaan rela dan tanpa paksaan bermula 14 Ogos lalu.
“Tempoh idah Ira juga bermula pada tarikh pelanggaran taklik (14 Ogos lalu),” katanya ketika ditemui sebentar tadi.
Sementara itu, peguam syarie, Muhammad Fadhil Abd Razak yang mewakili Ira berkata, mahkamah telah mendapati penceraian pasangan itu telah berlaku di luar mahkamah, dan dengan keputusan hari ini, kes cerai kedua-dua mereka kini selesai.
Terdahulu Syamsul, 40, atau nama sebenar Mohd Syamsul Mohd Yusof memfailkan perceraian ke atas Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak, 19 Ogos lalu.
Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252