DI SEBALIK ketidakpercayaan rakan dan keluarga kerana keinginan membuka perniagaan yang berorientasikan pendidikan dan percetakan kerana lokasi yang agak jauh dari pusat bandar, ia tidak sedikitpun menjadi penghalang buat insan bernama Zainilawati Zainuddin meyakinkan diri bahawa rezeki tetap ada di mana mana.
Pengasas Mahkota Ilmu itu yakin bahawa kemahuan dan kecekalan serta kesabaran adalah unsur terbaik dalam diri beliau bagi meneruskan keinginan membuka perniagaan yang tidak pernah diceburi sebelum ini, apatah lagi berkecimpung dalam urusan percetakan serta sektor pendidikan.
“Saya sendiripun tidak percaya akan mengusahakan sebuah kedai percetakan dan pendidikan, kerana ia bukan lapangan saya sebelum ini. Namun, hati kecil saya tetap yakin serta tawakal kepada Allah adalah perkara terbaik untuk saya teruskan.
“Matlamat saya hanya satu biar apapun terjadi saya akan terus sabar, cekal dan berdisiplin menjayakan keinginan saya. Saya tahu, agak sukar menembusi pasaran di luar bandar berbanding kawasan bandar,” ulas beliau ketika ditemui.
Menurutnya, kedai yang dinamakan sebagai Kedai Buku Mahkota Ilmu adalah ilham daripada kawasan tempat tinggal beliau di Mahkota Hills, Bandar Tasik Senangin, Lenggeng, Negeri Sembilan dan lokasinya agak jauh dari pekan terdekat seperti Mantin, Pajam, Beranang, Semenyih dan Rinching, Selangor.
Bagaimanapun, selepas memikirkan apa yang perlu beliau lakukan selepas negara dilanda Covid-19 dua tahun lalu tercetus ilham dalam dirinya untuk membuka sebuah kedai bagi meneruskan pencarian rezeki.
“Bidang saya sebelum ini adalah perakaunan, selepas berhenti kerja saya ditawarkan kontrak kerja pembersihan dan landskap disalah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Namun, akhir 2022 kontrak tidak disambung.
“Sebaik sahaja kontrak tamat, saya fikir perlu cari pendekatan lain yang tidak bersangkut paut dengan kontrak. Di situlah, tercetusnya idea membuka kedai percetakan – mencetak kain rentang, bunting, pelekat dan pelbagai cetakan serta sektor pendidikan seperti menjual alat tulis, buku sekolah, baju sekolah dan percetakan berkonsepkan digital.
“Hasilnya saya keluarkan hampir keseluruhan simpanan saya untuk menjayakan niat saya ini. Kini sudah dua tahun penubuhan kedai ini dan syukur semakin hari pelanggan sentiasa beri sambutan menggalakkan, terutama ibu bapa yang ingin berurusan dengan kami,” jelas beliau.
Ditanya apa keistimewaan yang dimiliki Mahkota Ilmu, Zainilawati berkata, banyak keistimewaan disediakan di premis beliau adalah harga yang berpatutan serta mengikut semua kehendak pelanggan tidak kira dewasa atau kanak-kanak, terutama pelajar.
Menurutnya, beliau melatih kakitangannya supaya sentiasa senyum dan tidak kekok apabila berurusan serta sentiasa bertanya apa yang diinginkan pelanggan.
“Kami memanggil semua pelanggan kami adalah tetamu istimewa serta perlu bersikap mesra untuk memastikan mereka tidak segan berurusan dengan kami. Kita perlu melayan semua tetamu seperti ‘melayan tetamu di rumah sendiri’.
“Memang pada mulanya saya agak kekok dan malu untuk berurusan dengan pelanggan (tetamu) kerana tidak pernah seumur hidup saya mempunyai kedai dengan berurusan secara terus seperti ini. Tetapi lama kelamaan ia menjadi biasa dan saya yang seorang pendiam kini sudah mula hilang rasa malu.
“Kita perlu ada ‘kelas tersendiri’ untuk memikat hati tetamu kerana mereka akan membawa semua legasi ke kedai kami. Sebenarnya kami amat gembira bila ibu bapa membawa anak-anak ke premis kami kerana ia akan menjadi lebih riuh dan mendambakan,” usulnya lagi.
Sehingga kini, kata Zainilawati, lebih 100 pelanggan mengunjungi Mahkota Ilmu setiap hari yang beroperasi dari jam 10 pagi sehingga 9 malam (Ahad hingga Jumaat) dan beliau amat berterima kasih kepada kakitangannya yang sentiasa memberi komitmen begitu tinggi menjaga premis.
“Saya akui kakitangan saya amat baik dan begitu komited dalam kerja masing masing. Mereka sentiasa beri yang terbaik jika saya tiada di premis untuk mendapatkan bekalan dari pengedar.
“Saya hanya berdoa supaya Mahkota Ilmu mendapat tempat di hati tetamu saya dan terus berkekalan sampai bila bila. Yang penting saya mahu kehadiran kami dapat membantu masyarakat yang perlukan khidmat kami,” kata Zainilawati.
Beliau juga ditanya adakah pihak pengurusan sekolah berhampiran memberi sokongan, beliau berkata, sememangnya pihak sekolah tidak putus-putus memberi sokongan dan galakan serta sentiasa bekerjasama dalam banyak urusan.
“Kami sentiasa dapat tempahan daripada pihak sekolah dan juga dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNK), cawangan Negeri Sembilan. Paling gembira kami satu-satunya premis dipilih menjayakan Program Jualan Rahmah bagi kawasan Lenggeng sempena pembukaan sekolah baru-baru ini.
“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak KPDNK cawangan Negeri Sembilan yang memberi peluang kepada Mahkota Ilmu menjayakan program berkenaan dan kami sentiasa ingin bekerjasama dengan pihak agensi kerajaan membantu masyarakat setempat,” jelasnya lagi.
Justeru, Zainilawati mengharapkan pelanggan sentiasa memberi sokongan kepada Mahkota Ilmu yang dimiliki sepenuhnya oleh Rush Abdul Resources terus maju dan menjadi nombor satu di hati mereka. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252