BERITA UTAMA
Irwan Fahmi Ideris

Tidak terima Bahasa Melayu, Jiao Zong hina Perlembagaan Persekutuan – Perkasa

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam kenyataan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) mengenai sembilan insititusi pendidikan Cina menolak penyelarasan Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Vernakular.

Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris menegaskan, tindakan Jiao Zong itu secara jelas menghina Perlembagaan Persekutuan apabila menafikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152.

Justeru, beliau mengingatkan gabungan itu bahawa penggunaan Bahasa Melayu amat penting walaupun di sekolah vernakular kerana ada juga pelajar Melayu, selain pelajar Cina yang belajar di sekolah itu.

“Kita menggesa kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan untuk menilai semula segala peruntukan yang dikhususkan kepada sekolah vernakular ini jika Jiao Zong masih berdegil menolak penggunaan Bahasa Melayu di sekolah itu.

“Perkasa juga mendesak supaya sekolah satu aliran diperkenalkan sebagai ganti sekolah vernakular jika tiada apa apa perubahan yang berlaku dari gabungan berkenaan.

 

“Sudah sampai masanya, Kementerian Pendidikan melihat semula infstruktur pembangunan sekolah Kebangsaan terutama yang berada di pedalaman dan dalam masa sama kami mohon peruntukan untuk sekolah vernakular di hentikan serta diberi kepada sekolah milik penuh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee yang dilaporkan berkata, pihaknya menolak kerana bahasa ibunda pelajar sekolah Cina bukan Bahasa Melayu.

Ujar Lek Aee, Bahasa Melayu merupakan bahasa kedua pelajar terbabit, maka ia tidak boleh diajar menggunakan silibus sama seperti pelajar Melayu lain, katanya yang dipetik China Press ketika hadir mesyuarat dalaman mengenai penyelarasan silibus Bahasa Melayu sekolah rendah vernakular di Bangunan Dong Zong, semalam.

Jelas Irwan Fahmi, kewujudan sekolah vernakular tidak membantu untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum dengan alasan diberikan Bahasa Melayu adalah bahasa kedua untuk pelajar sekolah itu.

Katanya, selain peruntukan khusus kerajaan, sekolah vernakular juga mendapat dana kewangan dari pihak luar seperti syarikat minuman keras sebagaimana pernah berlaku sebelum ini di selangor.

“Kita ingin mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia, selagi mana kita berada dalam negara ini, kita harus menghormati Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas perpaduan berbilang kaum.

“Perkasa juga mohon campur tangan Raja-Raja Melayu untuk menyelesaikan kemelut yang sedang melanda ini apabila Bahasa Melayu cuba dinafikan hak dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *