BERITA UTAMA
Tanah jerlus Masjid India: Selaman ke lokasi objek tersekat berdepan kesukaran

Tanah jerlus Masjid India: Selaman ke lokasi objek tersekat berdepan kesukaran

KUALA LUMPUR – Dua anggota Pasukan Penyelam di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berdepan situasi mendebarkan ketika melakukan selaman awal pagi ini bagi mencari wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, Jumaat lalu.

Berdasarkan pemerhatian di lokasi, kedua-duanya yang lengkap berpakaian skuba telah turun ke lubang itu pada jam 3.06 pagi dengan diawasi rapi oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang lain.

Selaman itu dilakukan selepas JBPM mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80meter semalam.

Bagaimanapun, tidak sampai setengah jam, mereka telah ditarik naik dari lubang berkenaan dengan bantuan anggota lain sebelum dinyahkuman dan dibersihkan.

Ketika dihampiri Bernama, seorang daripada penyelam terbabit sempat memaklumkan secara ringkas bahawa mereka tidak dapat menghampiri lokasi objek tersekat disebabkan keadaan arus air di dalam lurang kumbahan itu.

Setakat jam 4.30 pagi ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh JBPM kepada pihak media yang setia menanti sejak tengah malam tadi berhubung usaha terbaharu SAR itu.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, pasukannya mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80 meter.

Beliau berkata, dapatan itu diperoleh menerusi pengesanan oleh dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa ke lokasi kejadian pada petang Selasa selain pengesanan kamera.

Susulan itu, kerja-kerja menyedut air kumbahan dilakukan lewat malam tadi bagi memudahkan pergerakan penyelam dengan dibantu oleh 75 anggota yang mengawal jentera dan logistik.

Insiden tanah jerlus itu telah menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dengan operasi SAR memasuki hari ketujuh hari ini. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *