SEPANG – Pertubuhan Dakwah Generasi Emas (PDGE) mengumpul kira-kira 700 naskhah al-Quran rosak dan tidak terpakai untuk dihantar ke tempat pemurnian bagi tujuan pelupusan.
Kanda Utama PDGE, Mohamed Shahrin Ismail berkata, daripada semua naskhah al-Quran itu ada yang masih elok dan rosak serta perlu dilupuskan menerusi proses yang betul oleh pihak berkenaan.
Katanya, kebanyakan naskhah itu tidak mempunyai cop Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan terjemahan yang diambil dari surau sebuah kolej di Subang.
“Alhamdulillah, segala proses menghantar naskhah al-Quran ke tempat pemurnian al-Quran berjalan lancar walaupun berdepan dengan birokrasi dan kerenah pihak berkaitan.
“Kira-kira 1,000 kilogram atau 700 naskhah al-Quran yang kami terima ini, ada antaranya masih elok dan rosak, selain tidak mempunyai cop KDN.
“Kami disarankan oleh pihak majlis agama daerah supaya berhubung dengan wakil premis pelupusan naskhah al Quran yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya di sini, semalam.
Katanya, semua naskhah al-Quran itu sebelum ini kegunaan sebuah surau di Subang yang perlu dikosongkan atas sebab tertentu dan pihaknya mengambil tanggungjawab untuk menyerahkannya kepada pihak berwajib.
“Bagaimanapun, kami diarahkan menyimpannya dahulu sementara menunggu tarikh yang agak lama untuk proses penyerahan atau berhubung dengan JAIS. Sudah tentu ini melibatkan kos yang besar di pihak kami.
“Selain itu, kami ke sebuah masjid di Cyberjaya memohon pihak pengurusannya menerima naskhah al-Quran ini dan membuat semakan semula kerana ada antaranya datang dari pelbagai negara yang kita tidak tahu kesahihan terjemahan ayat,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa pihak berkenaan mempermudahkan usaha mana-mana pihak termasuk NGO itu dalam usaha menyelamatkan kitab suci al-Quran daripada terbiar dan dibuang ke tempat tidak sepatutnya.
“Jangan salahkan sesiapa sekiranya ada naskhah al-Quran diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya akibat daripada birokrasi pihak berkenaan dalam menerima naskhah yang rosak untuk tujuan pelupusan.
“Jabatan agama Persekutuan atau negeri perlu memberi penerangan kepada pengurusan masjid sebagai wakil mereka untuk menerima naskhah al-Quran yang diserahkan oleh NGO.
“Jangan banyak kerenah dengan pelbagai alasan dan syarat untuk tidak menerimanya kerana kita bimbang ianya terlepas kepada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252