Poster tular guna gambar propaganda tentera China, guru dikenakan tindakan tatatertib

Poster tular guna gambar propaganda tentera China, guru dikenakan tindakan tatatertib

SUNGAI BESAR – Tindakan tatatertib sudah dikenakan terhadap guru sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang berhubung tindakannya menggunakan gambar tidak sepatutnya pada poster pertandingan sempena Hari Kebangsaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kesilapan dilakukan guru itu dianggap amat serius, justeru tindakan tegas diambil melalui siasatan Unit Integriti dan tindakan tatatertib.

“Itu langkah paling tegas Kementerian Pendidikan laksanakan terhadap guru itu,” katanya dipetik Harian Metro pada sidang media selepas majlis penyerahan bangunan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian itu.

Pengarah JPN negeri, Datuk Abdul Said Hussain dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia telah menyinggung dan mengguris hati banyak pihak.

Sebelum ini, tular melalui media sosial sebuah poster pertandingan buku skrap anjuran sebuah sekolah menengah yang didakwa menggunakan gambar propaganda tentera China dan ia mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Guru terbabit sudah membuat permohonan maaf Khamis lalu, manakala poster pertandingan asal juga sudah ditarik balik dan digantikan dengan poster lain. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *