KUALA LUMPUR – Tiada pemilihan parti akan dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 kali ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, perhimpunan kali ini akan memfokuskan soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
‘’Saya rasa lambat lagi kita punya pemilihan ini, biasanya orang UMNO ni dia selagi bukan tahun pemilihan dia tidak membicarakan soal ini.
‘’Bagus juga sebenarnya dari segi bahagian-bahagian, saya rasa yang timbulkan satu bahagian, dan bahagian-bahagian lain tidak timbulkan (isu ini).
‘’Sebab saya rasa tradisinya begitulah dalam UMNO ini, dan seperti yang saya katakan tadi bagus dan positifnya kerana kebanyakan bahagian-bahagian akan memfokuskan soal kebajikan dan soal kesejahteraan rakyat,’’ katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Auditorium UMNO, Aras 4, Menara Dato Onn WTC, di sini, pada Rabu.
Pada Mac 2023, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan usul tambahan PAU 2022 untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah diterima Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Ahmad Zahid berkata, UMNO telah menerima surat bertarikh 3 Mac 2023 daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan bahawa RoS telah menerima usul yang diluluskan oleh PAU.
Ujar Asyraf, PAU 2024 yang akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos ini tidak akan menyaksikan kehadiran pemimpin utama parti politik dalam Kerajaan Perpaduan seperti tahun lalu.
Kata beliau, ini bagi membolehkan perhimpunan yang berlangsung memberi ruang sepenuhnya kepada keluarga UMNO berbincang dan mendalami isu-isu melibatkan parti tersebut.
‘’Kali ini kita (UMNO) dah berbincang di peringkat majlis pimpinan Kerajaan Perpaduan untuk PAU tahun kedua kita bersama dalam Kerajaan Perpaduan ini, kita memfokuskan kepada keluarga UMNO terlebih dahulu sebab tahun pertama hari itu kita dah membuat jemputan.
‘’Insya-Allah mungkin tahun depan atau tahun sebelum pilihan raya biasanya, begitu juga dengan waktu kalau ingat waktu dulu dengan Muafakat Nasional (MN) pun begitu juga kita jemput waktu tahun yang kedua baru kita ada jemputan.
‘’Kali ini kita akan memberikan ruang seluas-luasnya kepada keluarga besar UMNO untuk berbincang secara kekeluargaan dalaman, tidak ada pemimpin utama parti yang datang kali ini, ini macam ada kesepakatan bersamalah,’’ katanya.
Tahun lalu, PAU mencipta sejarah menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menjejakkan kakinya ke persidangan itu selepas 25 tahun.
Kali terakhir Presiden Parti Keadlian Rakyat (PKR) itu berucap pada PAU adalah pada 1998 sebagai Timbalan Presiden UMNO. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252