JOHOR BAHRU: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, dilantik semula sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkuat kuasa 1 Jun lalu hingga 31 Mei 2031.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mempersembahkan Watikah Perisytiharan Pelanjutan Raja Zarith Sofiah sebagai Canselor UTM kepada baginda sempena sesi mengadap delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di Istana Negara, hari ini.
UTM dalam kenyataan hari ini berkata, pengurusan tertinggi universiti berkenaan amat yakin dengan pengalaman dan hikmah Raja Permaisuri Agong dalam memacu agenda pendidikan tinggi negara demi manfaat rakyat dan sentiasa komited dibawah naungan baginda.
“Seluruh warga UTM merafak sembah, menjunjung kasih serta menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan semula Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkuat kuasa 1 Jun lalu hingga 31 Mei 2031,” kata universiti berkenaan dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Raja Zarith Sofiah berkenan menerima menghadap Zambry di Istana Negara.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman.
Raja Zarith Sofiah mula dilantik sebagai Canselor UTM pada 1 Jun 2010 dan telah memberikan pelbagai sumbangan yang amat bermakna kepada UTM di peringkat dalam negara dan juga di persada dunia.
Antara sumbangan baginda termasuklah mengilhamkan Projek Bangsa Johor Bahagia (BJB) yang bertujuan membantu komuniti kurang berkemampuan dengan pembabitan penyelidik dan pelajar UTM.
Baginda juga amat prihatin terhadap isu kebajikan pelajar dan telah melancarkan Tabung Canselor ‘Because We Care’ bagi membantu mahasiswa B40 dalam pembelajaran.
Raja Permaisuri Agong seorang yang aktif dalam dunia keintelektualan, baginda menaungi Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science, and Civilisation (RZS-CASIS).
Sejak 2022 pula, baginda telah mengilhamkan siri ‘Royal Intellectual Forum’ yang dianjurkan setahun sekali di UTM oleh Akademi Tamadun Islam (ATI).
Pada Mei 2023, baginda telah menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Imagining the Future: Climate Change, Health and Food Security in Muslim Societies’ sempena persidangan meja bulat anjuran UTM dan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), University of Oxford, United Kingdom. -BH
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252