BERITA UTAMA

Dakwa DAP kafir harbi: Pengacara majlis terlepas cakap, ‘direhatkan’ 3 hari ceramah kempen – Annuar

GUA MUSANG: Perikatan Nasional (PN) ‘merehatkan’ sementara seorang pengacara majlis daripada terbabit program ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, selepas individu itu dikatakan tersasul menyebut perkataan ‘kafir harbi’ terhadap DAP dalam ceramah di Sungai Asap, di sini, malam kelmarin.

Pengarah Operasi PN bagi PRK DUN Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa, berkata individu terbabit direhatkan selama tiga hari bermula kelmarin dan tidak akan terbabit sebarang ceramah kempen mereka sepanjang tempoh itu.

“Beliau terlepas cakap. Dalam PRK, kita tidak mahu ada sebarang sentimen ataupun kekeruhan. Justeru, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan kepada saya bahawa kita meminta orang kita bertenang dan itu menjadi peringatan kepada yang lain-lain.

“Kita akan kekal berkempen dengan cara penuh beretika, termasuk oleh penceramah dan juruacara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Ceramah Perdana Pertahan Nenggiri Undi Bulan di Rancangan Kemajuan Tanah KESEDAR Jeram Tekoh, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Annuar menjelaskan, tiada keperluan untuk PN membuat permohonan maaf berhubung perkara itu kerana ia adalah pendapat individu dan bukan pendirian parti.

“Pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tersasul menyebut ‘hidup Israel’ pun masih lagi memegang jawatan,” katanya.

Semalam, media melaporkan DAP menuntut individu yang dikatakan mendakwa parti itu adalah ‘kafir harbi di Malaysia’ pada program ceramah PAS dan PN pada kempen PRK DUN Nenggiri, supaya memohon maaf.

Dalam satu kenyataan bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman, dipetik berkata individu terbabit dipercayai menjadi pengerusi pada majlis berkenaan. -BH

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *