KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria menyifatkan serangan ke atas ahli keluarganya susulan gambar mereka tular menyaksikan perlawanan penentuan pingat gangsa melibatkan atlet badminton negara pada Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai tidak perlu.
Memetik laporan The Star, Norza menegaskan, ahli keluarganya tidak patut melalui serangan sedemikian rupa.
Beliau berkata, isteri dan anak lelakinya hadir ke Paris di bawah ‘peruntukan peribadi’ kad akreditasi tambahan yang disediakan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Katanya, ahli keluarganya telah lama mengikutinya untuk menonton acara badminton dengan perbelanjaan ditanggung sendiri.
Beliau menjelaskan, kad akreditasi tambahan itu tidak berada di bawah kuota akreditasi pasukan yang diberikan kepada setiap Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC).
“IOC menyediakan kad akreditasi tambahan untuk Presiden dan Setiausaha Agung setiap NOC. Keluarga saya di sini menggunakan peruntukan ini dan hanya membenarkan akses di ruang tempat duduk VIP.
“Keluarga saya telah mengikuti saya untuk acara badminton selama bertahun-tahun. Setiap kali mereka hadir, semua perbelanjaan ditanggung oleh saya sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Norza menegaskan beliau berkhidmat secara pro-bono (tanpa bayaran) sebagai Presiden MOM dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Saya tidak menerima gaji mahu pun elaun daripada kedua-dua pertubuhan.
“Saya hanya ingin membantu membawa kejayaan dan kebanggaan kepada negara kita,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau turut mengesahkan akan meneruskan hasrat meletakkan jawatan sebagai Presiden BAM.
“Melihat kepada semua maklum balas ini, perasaan saya sekarang, saya hanya akan mengatakan bahawa saya akan meletakkan jawatan daripada BAM tidak lama lagi.
“Saya berharap pemimpin seterusnya dapat meningkatkan martabat badminton negara,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Pentadbiran BAM Michelle Chai tampil membela Norza, berkata semua peraturan telah dipatuhi dan dia tidak sepatutnya dibuli siber.
“IOC sememangnya memberi akreditasi kepada presiden dan setiausaha agung NOC. Setiap daripada mereka mendapat seorang tetamu yang menemani dan pada kad itu, akan tertera perkataan MOM.
“Sama seperti atlet, pegawai juga tidak seharusnya dibuli siber. Sila fahami isu tersebut sebelum membuat ulasan.
“Jika kita tidak menyukai seseorang, tidak bermakna semua yang dia lakukan adalah buruk,” katanya.
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila netizen mempersoalkan kehadiran ahli keluarga Norza semasa perlawanan penentuan pingat gangsa antara pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang beregu nombor dua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Isu tersebut menjadi hangat kerana sebelum ini, jurulatih pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei iaitu Nova Armada tidak dapat mengikuti anak didiknya ke Paris disebabkan kad akreditasi terhad.
Jin Wei kemudiannya dibantu Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky dan jurulatih beregu lelaki, Tan Bin Shen namun tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, MOM menjelaskan pegawai tertinggi badan olimpik itu menerima peruntukan khas kad akreditasi untuk membawa tetamu di Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, peruntukan itu adalah berasingan dengan yang diberikan kepada kontinjen Malaysia termasuk atlet, jurulatih dan kakitangan sokongan lain.
Kad akreditasi khas yang diluluskan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) itu diberikan kepada Menteri Belia dan Sukan, Presiden MOM dan Setiausaha Agung masing-masing kepada tetamu yang menyertainya.
Pada masa sama, MOM menegaskan, peruntukan khas kad akreditasi itu tidak membabitkan sebarang pembiayaan kerajaan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252