SEPANG – Budak lelaki yang tular memandu sebuah kereta di kawasan perumahan di Puchong minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini bersama bapanya.
Budak berusia 12 tahun dan bapanya, 53, penjual karpet masing-masing selaku orang kena saman (OKS) itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Mengikut kertas pertuduhan, budak lelaki itu didakwa memandu kereta jenis Perodua Viva di atas jalan, di mana dia berusia 12 tahun tiga bulan ketika kejadian, mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(5) akta sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sekitar jam 6.30 petang 29 Julai lalu.
Bapanya, seorang warga Pakistan berstatus pemastautin tetap itu didakwa sebagai pemilik kenderaan berkenaan, membenarkan anaknya memandu kereta berkenaan di jalan raya pada waktu, lokasi dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 39(5) akta serupa.
Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi menawarkan jaminan ke atas budak itu sebanyak RM1,000.
Bagaimanapun, peguam Nabilla Rosli yang mewakili kedua-dua OKS itu memohon agar jaminan ke atas kanak-kanak itu ditetapkan pada kadar RM500 memandangkan bapanya turut diarahkan membayar jaminan sebanyak RM8,000 bagi pertuduhan mengabai anaknya itu di Mahkamah Sesyen Sepang, pagi tadi.
Beliau turut memohon jaminan minima ke atas bapa kanak-kanak itu atas alasan pendapatan yang tidak menentu dan menanggung isteri suri rumah selain lima orang anak berusia antara 19 sehingga enam tahun.
Majistret Muhammad Bukhori kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM500 ke atas kanak-kanak terbabit manakala bapanya sebanyak RM2,000 selain menetapkan 4 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu bapa kanak-kanak berkenaan turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap budak lelaki itu, telah mengabai dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkan kanak-kanak itu kepada kecederaan fizikal kerana gagal mengawasinya sehingga dia memandu sebuah kereta.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252