Pembunuhan Ismail Haniyeh ‘tidak akan dibiarkan tanpa balasan’ - Hamas

Pembunuhan Ismail Haniyeh ‘tidak akan dibiarkan tanpa balasan’ – Hamas

PEMBUNUHAN Ismail Haniyeh ‘tidak akan dibiarkan tanpa balasan’, kata pegawai Hamas sebagai reaksi kepada pembunuhan pemimpin itu dalam serangan Israel di Tehran.

Pegawai kanan Hamas, Moussa Abu Marzouk seperti yang dipetik oleh Al-Aqsa TV yang dikendalikan oleh Hamas menyifatkan tindakan Israel itu sebagai pengecut, lapor Reuters.

“Pembunuhan Ismail Haniyeh adalah “tindakan pengecut yang tidak akan dibiarkan tanpa balasan,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, jurucakap kanan Hamas, Sami Abu Zuhri menyifatkan, pembunuhan pemimpin itu sebagai “mencetuskan keadaan lebih serius yang tidak akan mencapai matlamatnya”.

Zuhri juga dilaporkan berkata, Hamas akan melancarkan “perang terbuka untuk membebaskan Baitulmuqaddis” dan kumpulan itu “bersedia membayar sebarang harga” untuk melakukannya, menurut laporan media tempatan.

Kenyataan Hamas mengatakan, Haniyeh terbunuh dalam “serangan pengkhianat Zionis” di kediamannya di ibu kota Iran, Tehran. Kerajaan Israel belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai serangan itu.

Pembunuhan Ismail Haniyeh membangkit perjuangan baharu Palestin dan dunia dalam menentang kejahatan zionis Israel.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim), Dr. Muhamad Azrin Omar berkata, semangat dan perhatian dunia terhadap Palestin sedikit kendur kebelakangan ini disebabkan kelicikan zionis menormalisasikan kezaliman serta pembunuhan.

Namun menurutnya, dengan pembunuhan Ismail Haniyeh akan membangkitkan lagi semangat dan perhatian masyarakat dunia.

“Dalam detik yang penting ini, kami ingin mengajak seluruh masyarakat dunia untuk memperingati dan menghormati legasi Ismail Haniyeh dengan menyokong cadangan beliau untuk menjadikan 3 Ogos sebagai Hari Solidariti Gaza Sedunia.

“Ini adalah masa yang tepat untuk kita bersatu dan menunjukkan sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Kami percaya pembunuhan Ismail Haniyeh bukanlah pengakhiran, tetapi permulaan baharu dalam perjuangan Palestin. Seperti kata pepatah, ‘satu gugur, seribu akan bangkit’.

“Kematian Haniyeh akan melahirkan ribuan pejuang baharu yang akan meneruskan perjuangan beliau. Ini adalah detik penting di mana kita akan menyaksikan kebangkitan semangat perjuangan yang lebih kuat di kalangan rakyat Palestin dan penyokong mereka di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Muhamad Azrin berkata, Serantau Muslim mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan tersebut.

“Seperti kita sedia maklum, penjajah zionis telah lama menyasarkan pembunuhan terhadap Allahyarham dan pemimpin tertinggi Hamas yang lain.

“Serantau Muslim menggesa rakyat Malaysia dan seluruh dunia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ini. Kita perlu sama-sama menzahirkan suara kemarahan dan kebersamaan kita terhadap perjuangan Palestin.

“Marilah kita bersama-sama meneruskan perjuangan untuk keamanan dan keadilan di Palestin, seperti mana yang diperjuangkan oleh Ismail Haniyeh sepanjang hayatnya. Kematian beliau tidak akan sia-sia, sebaliknya akan menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih besar,”katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *