PRK DUN Nenggiri: Azmawi Fikri boleh!

PRK DUN Nenggiri: Azmawi Fikri boleh!

RASANYA tidak keterlaluan kalau Pak Dee letakkan ramalan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bakal merampas semula kerusi DUN Nenggiri dalam Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini.

Banyak faktor kenapa Pak Dee buat ramalan Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu boleh menang, walaupun lawannya dari parti Pas atau pun Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kuota parti Bersatu sebagai calon.

Antaranya, anak muda bernama Mohd Azmawi ini adalah anak tempatan Gua Musang yang turut memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian itu.

Dia banyak habiskan masa di bumi kelahirannya. Jarang tinggal kawasan. Sentiasa mendampingi rakyat walaupun Kelantan dan Gua Musang khususnya diperintah oleh Pas-PN.

Rakyat Gua Musang, dari warga emas, dewasa, anak muda dan remaja semuanya mengenali beliau yang tidak pernah lokek keluarkan duit poket sendiri untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

Sebagai anak jati Gua Musang, beliau lebih mengenali hati budi rakyat di kawasan itu, dari yang tinggal di bandar, pinggir bandar, pedalaman mahupun kawasan penempatan masyarakat Orang Asli.

Walaupun bukan berstatus wakil rakyat secara rasmi, Mohd Azmawi Fikri banyak habiskan masa di lapangan. Bersama masyarakat setempat siang malam dalam pelbagai aktiviti dan program.

Jadi, calon macam mana lagi pengundi dalam DUN Nenggiri nak, kalau bukan anak muda ini yang layak dan sesuai untuk mereka pilih pada 17 Ogos ini.

Alasan lain yang bakal beri kemenangan kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang ini ialah, sejak DUN Nenggiri dibuka sebagai kawasan baharu pilihan raya tahun 2004, ia dimenangi oleh calon dari BN, Mohd Yusoff Abd. Ghani.

Lama tak lama DUN itu dimenangi BN adalah selama empat penggal bermula PRU ke-11 2004, PRU ke-12 2008, PRU ke-13 2013 dan PRU ke-14 2018. Hanya PRU ke-15 2022, Nenggiri dirampas oleh calon Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim yang bergabung dengan Pas selepas membentuk PN.

Itu pun bertahan tak sampai dua setengah tahun kerana Mohd Azizi berpaling tadah memberi sokongan kepada kerajaan Perpaduan dan kerusinya telah dikosongkan oleh DUN Kelantan.

Sepanjang hampir lima penggal ini, dua setengah penggal DUN Nenggiri disandang oleh pemimpin UMNO, saudara Mohd Yusoff Abdul Ghani. Namun, dia berdepan masalah peribadi menyebabkan kerusi itu dikosongkan tanpa ada PRK pada 2017 hingga PRU 2018.

Pada PRU ke-14, UMNO letak saudara Ab. Aziz Yusoff bertanding, dan berjaya meneruskan legasi sahabatnya Mohd Yusoff Abdul Ghani sehingga PRU ke-15. Dalam PRU itu Ab. Aziz gagal pertahankan kerusinya kerana telah dirampas oleh Mohd Azizi.

Maknanya, dalam tempoh hampir lima penggal, iaitu 20 tahun, Pak Dee buat pukul rata, selama 18 tahun DUN Nenggiri bawah BN-UMNO dan hampir dua tahun bawah PN-Pas-Bersatu.

Jadi, masih boleh dianggap DUN Nenggiri adalah kubu kuat UMNO, dan Mohd Azmawi Fikri antara calon yang tepat untuk mengambil semula kerusi itu pada 17 Ogos ini.

Umum tahu, sejak dari dulu, DUN-DUN dalam Parlimen Gua Musang yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah adalah dalam pemilikan UMNO-BN. Namun, disebabkan ada perkara yang tidak dapat dielakkan, kerusi Parlimen dan DUN Nenggiri jatuh ke tangan PN-Pas-Bersatu, termasuk Ku Li pun tewas kepada Mohd Azizi dengan majoriti amat kecil, iaitu 163 undi.

Mohd Azizi bertanding dua kerusi pada PRU ke-15 iaitu Parlimen Gua Musang menentang Ku Li dan DUN Nenggiri berlawan dengan Ab. Aziz. Bagaimanapun, kerusi Parlimen Gua Musang tidak dikosongkan kerana Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyatakan tidak ada keperluan untuk beliau melanggar akta dalam Perlembagaan Persekutuan yang hanya dicabar oleh pindaan kecil perlembagaan parti Bersatu.

Makanya, daripada dua kerusi DUN (satu lagi DUN Selat Klang di Selangor) dan enam kerusi Parlimen yang wakil rakyatnya (semua dari Bersatu) berpaling tadah, hanya satu kerusi DUN dikosongkan (iaitu DUN Nenggiri). Itu pun kerana DUN berkenaan berada dalam negeri yang dikuasai PN. Nak tak nak, kena ikut undang-undang mereka.

Oleh itu, Mohd Azizi tak boleh nak kata apa. Dia kena akur hilang kerusi DUN Nenggiri, tapi dia kekal sebagai Ahli Parlimen Gua Musang. Pengekalannya berdasarkan pemahaman perundangan yang dikuasai PH.

Sungguhpun DUN Nenggiri masih boleh ditakrifkan sebagai kubu UMNO-BN, namun jenteranya masih perlu bekerja kuat untuk menang dengan majoriti yang lebih besar pada PRK ini.

UMNO-BN dengan bantuan rakan-rakan gabungan dari PH dan Mohd Azizi selaku bekas ADUN Nenggiri yang menyatakan kesediaannya membantu Mohd Azmawi Fikri, maka kelebihan atas kertas sudah berpihak kepada BN-UMNO-PH.

Namun, sepertimana yang Pak Dee kata, jangan pandang mudah dengan pihak lawan, sungguhpun kita lihat dan dengar ada sedikit pertelingkahan antara Pas dengan Bersatu dalam keputusan meletakkan calonnya, itu hanya sekadar kocakan air dalam cawan.

Sekejap saja mereka boleh tenangkan keadaan dan kembali menyusun strategi untuk pertahankan kerusi DUN berkenaan.

Walaupun, masih ada masa 23 hari lagi dengan hari mengundi 17 Ogos ini, Pas-Bersatu-PN boleh mempengaruhi pengundi dengan isu-isu semasa yang berlaku di peringkat pusat. Ini harus dibimbangi jentera UMNO-BN-PH. Ada sesetengah isu boleh makan diri kalau tidak bijak menanganinya.

Justeru, tanganilah isu yang dibawa oleh Pas-Bersatu-PN dengan bijaksana, umpama tarik rambut dalam tepung. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *