PADA tahun 1992, Kak Lah telah bermimpi menaiki sebuah tempat yang tinggi dalam sebuah hutan tebal. Kak Lah kemudian tiba ke tingkat 38 Bangunan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Kak Lah kemudian berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden UMNO.
Tun Dr. Mahathir telah menyerahkan 14 kunci untuk dibawa balik ke Kelantan dan Kak Lah diminta bertemu dengan seorang pemuda bernama Din. Dengan berbekalkan mimpi itu, Kak Lah berusaha untuk bertemu dengan Dr. Mahathir.
Sebenarnya, hubungan dengan Dr. Mahathir telah bermula beberapa tahun lalu. Kak Lah telah menghantar surat yang berbentuk pandangan dan cadangannya mengenai politik tanah air. Pendapatnya itu kemudian telah dibaca oleh Dr. Mahathir, walaupun pada awalnya dipandang ringan. Surat bertulis tangan Kak Lah itu tidak dihiraukan.
Namun, kesungguhan Kak Lah menghantar surat-suratnya tanpa jemu menyebabkan Dr. Mahathir memberikan perhatian. Di sinilah bermulanya komunikasi Kak Lah dengan Dr. Mahathir. Surat-surat Kak Lah dibalasnya. Hubungan ini memang tidak pernah terjangka oleh Kak Lah.
Kak Lah bukanlah ahli UMNO atau NGO yang rapat dengan UMNO. Hubungan yang berlaku dengan Dr. Mahathir semata-mata kerana ingin memberikan pendapatnya mengenai kepimpinan dan pergolakan politik orang Melayu. Orang ramai mungkin susah untuk mempercayainya. Namun, itulah yang terjadi.
Surat Kak Lah kepada Dr. Mahathir sebenarnya mengandungi pesanan ilmu kepimpinan Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang yang selalu dibincangkan dengan Kak Lah. Mak Bonda melihat kepimpinan yang betul ialah kepimpinan yang dapat menjaga dan memakmurkan tanah air, bangsa dan agama.
Mak Bonda melihat Dr. Mahathir mempunyai kualiti kepimpinan yang baik kerana ketegasannya, selain “mata hati yang mendalam”. Mak Bonda ingin melihat Dr. Mahathir hidup 100 tahun demi menjaga tanah air, bangsa Melayu dan agama Islam.
Sekitar tahun 1997, Kak Lah mula menghantar surat kepada Dr. Mahathir dengan menulis tangan. Perjuangan dan usaha beliau tidak pernah mengenal erti berputus asa. Terlalu banyak cadangan diutarakan kepada kepimpinan ketika itu demi perjuangan untuk menegakkan kelangsungan bangsa dan tanah air serta memperkasakan perpaduan Melayu yang terjejas kerana konflik kepimpinan melanda UMNO dan negara.
Pada tahun 1998, ketika pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Kabinet, keadaan negara kucar kacir. Integriti kepimpinan Dr. Mahathir juga dipersoalkan. Ramai rakyat Malaysia tidak dapat menerima dan mempercayai tuduhan salah laku Anwar Ibrahim.
Kak Lah terpanggil untuk memberi semangat kepada Perdana Menteri. Mak Bonda merestuinya. Dengan hanya menulis tangan dalam buku catatan, Kak Lah telah menghantar surat kepada Dr. Mahathir, supaya tabahkan hati dan sentiasa tenang dalam menghadapi apa sahaja rintangan dihadapinya.
Dalam surat itu juga Kak Lah menasihatkan Perdana Menteri agar melakukan apa sahaja keputusan dalam hatinya kerana Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui, demi kebaikan tanah air, bangsa dan agama. Ajaran Islam sebenarnya untuk pembersihan jiwa yang akan menuju kepada kebenaran. Kata Kak Lah kepada Dr. Mahathir, “Jangan takut… lakukanlah”.
Pada ketika itu juga pucuk pimpinan tidak dapat membuat ketetapan untuk mengadakan pilihan raya. Pelbagai keadaan terpaksa difikirkan. Dalam keadaan seperti itu, bolehkah Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya yang akan diadakan nanti? Kali ini, Kak Lah telah membuat solat hajat untuk mendapat petunjuk daripada Allah SWT.
Menurut pandangannya, pucuk pimpinan boleh mengumumkan tarikh pilihan raya sebagaimana dikehendaki. Dengan izin-Nya, dua pertiga kerusi akan dimenangi oleh BN. Pandangannya itu telah disampaikan kepada Perdana Menteri melalui surat tulisan tangan ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Pilihan raya umum telah diadakan pada tahun 1999.
Pada tahun itu juga, Kak Lah pernah menghantar surat kepada Perdana Menteri mencadangkan agar manifesto pilihan raya menitik beratkan soal pembersihan hati, iaitu suci dan bersih kerana hati yang kotor dan tidak ikhlas tidak akan menghasilkan sebarang kejayaan. Peristiwa dalam sejarah Islam telah membuktikan, dengan sebuah kebenaran berteraskan keikhlasan, perjuangan menegakkan tanah air, bangsa dan agama akan berjaya seperti yang selalu dilakukan Nabi Muhammad SAW.
Rasa sayang akan tanah air, bangsa dan agama secara ikhlas dalam kepimpinan adalah asas kepada keikhlasan perjuangan itu. Pada ketika itu juga, Kak Lah turut mencadangkan kepada Dr. Mahathir agar menghadiahkan sebuah kementerian untuk wanita dengan menyerahkan pita rakaman (tape recorder) berwarna merah disertakan nota berbunyi: “Tekan play saja”.
Antara luahan hati beliau yang diutarakan melalui pita rakaman berbunyi, “YAB Dato’ Seri, dengarlah suara hati saya ini, hadiahkanlah satu kementerian untuk wanita, kerana wanita telah mengundi kerajaan, menjadi tunjang untuk mempertahankan BN, sentiasa bekerja kuat dan wanita jugalah yang menjadi jentera yang turun padang ketika kempen pilihan raya”.
Maka, tertubuhlah Kementerian Pembangunan Wanita yang kini dikenali Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selepas kemenangan BN dalam PRU 1999. Di sini, dapatlah disimpulkan walaupun Kak Lah tidak bergerak secara cergas dalam bidang politik, namun sering mengambil berat hal ehwal kepimpinan negara.
Ini kerana, bagi Kak Lah, “Tanah Melayu sebagai tanah pusaka bangsa Melayu semenangnya dititik beratkan dalam ilmu Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang”. Inilah amanah yang disampaikan kepada kepimpinan negara, Dr. Mahathir Mohamad.
Penghasilan buku Kunci Mahathir
Sekembalinya ke Kelantan, Kak Lah mula berhubung dengan orang bernama Din atau nama penuhnya Sharifuddin Ab. Rahman. Kak Lah telah menceritakan apa yang dimimpikannya kepada Din, supaya dapat membantunya menterjemahkan pesanan Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang dalam sebuah buku.
Kak Lah memang tidak pandai menulis, tetapi mempunyai idea-idea mengenai kepimpinan yang berkesan bagi menjaga keselamatan tanah air, bangsa dan agama. Kak Lah berasa sangat bimbang dengan keadaan perpecahan politik orang Melayu di Kelantan yang terbahagi kepada UMNO dan Pas. Bagi Kak Lah, kedua-dua parti orang Melayu itu patut bekerjasama membangunkan bangsa dan agama secara ikhlas. Ini tugas kepimpinan kedua-dua parti.
Bagi Kak Lah, UMNO parti pusaka orang Melayu yang mesti dijaga dan Pas mesti membantunya. Walaupun mereka berlainan ideologi politik, tetapi kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam tidak lari daripada menjaga tanah pusaka Tanah Melayu sebagai hak orang Melayu.
Kak Lah telah menggarap perbincangan dalam buku yang dinamakan Kunci Mahathir. Kak Lah menggunakan simbol 14 kunci yang diterimanya dari Tun Dr. Mahathir dalam mimpinya itu sebagai 14 ciri kepimpinan yang benar dan Ikhlas untuk tanah air, bangsa dan agama.

Buku ini merupakan suatu gagasan pemikiran Kak Lah yang terbentuk dari pesanan-pesanan Mak Bonda terhadap kepimpinan yang baik. Kak Lah juga menggarap pengalamannya dalam menjalankan perniagaan dan pertubuhan perniagaan yang diceburinya dahulu. Dia juga melakukan penyelidikan dan temu bual dengan pelbagai pihak dan golongan masyarakat demi untuk mencari jawapan kepimpinan yang disanjung.
Buku Kunci Mahathir ini sebenarnya membicarakan soal kepimpinan politik umat Melayu-Islam dan menelusuri persaingan politik antara dua parti politik umat Melayu itu di Kelantan. Buku ini menyentuh sentimen dan hati budi bangsa Melayu yang menjadi tonggak kepada negara Malaysia.
Asasnya ialah kepimpinan yang betul dan ikhlas serta sentiasa memikul amanah dan harapan Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang. Buku ini ialah garis panduan untuk seseorang yang mahu menjadi pemimpin yang berkesan bagi membela dan menjaga tanah airnya.
Sifat pemimpin yang baik ini patut menjadi pegangan kepada semua pemimpin yang berwibawa. Terdapat 14 sifat mulia yang patut menjadi pegangan mereka. Berikut 14 Kunci Kebenaran yang terkandung dalam buku Kunci Mahathir:
Kunci 1: Niat dan tujuan
Setiap manusia yang dicipta Allah mesti mempunyai niat dan tujuan hidup. Setiap manusia dijadikan Allah terdiri dari berbilang bangsa, pelbagai agama dan beraneka rupa paras. Manusia ini mempunyai sifat rohani dan jasmani, iaitu roh dan jasad. Apabila berakhir sebuah kehidupan manusia, jasad akan menemui kematian, iaitu saat kembali, yang mana jasad (Adam) itu akan hancur ditelan bumi dan yang tinggal hanya tulang serta tengkorak kepala. Bagaimanapun, roh tidak akan hancur, tetapi akan terus hidup bersama Sang Pencipta Allah.
Segala urusan hidup manusia, tanggungjawab dan amanah sebagai seorang hamba terkumpul dalam niat dan tujuan hidupnya. Sekiranya niat dan tujuan hidup manusia itu baik dan jujur, maka hasilnya adalah keberkatan dan rahmat berpanjangan. Urusan hidupnya akan menuju kebenaran dalam menjaga tanah air dan agama.
Sebagai pemimpin, mereka akan membawa kemakmuran serta keharmonian masyarakatnya. Sekiranya niat lebih kepada kepentingan peribadi dan mempunyai agenda tertentu (agenda nafsu, tamak, ingin berkuasa memenuhi kehendak nafsu serakah), maka manusia itu tidak sesuai menjadi pemimpin kepada umat dan penduduk bumi. Dia mestilah dipimpin oleh seorang pemimpin yang lebih bagus sifatnya.
Kunci 2: Perjuangan yang tulen dan Ikhlas
Mempunyai sifat tidak tahu penat dan tidak kenal erti putus asas, merupakan sifat mulia seorang pemimpin. Mereka mempunyai rasa reda dan puas dengan apa yang dilakukan. Tindakan daripada orang yang ikhlas selalunya mendapat rahmat yang mencurah-curah.
Manusia seperti ini boleh membantu dan menyelesaikan masalah di sekelilingnya dengan cara berhemah kerana keberkatan setiap penyelesaian yang baik itu adalah sangat mulia di sisi Allah SWT. Banyak kemudahan dan bantuan bagi setiap tindak kerja dilakukan dengan mata hati yang halus dan penuh kebijaksanaan.
Sifat keikhlasan itu tidak mempunyai sebarang agenda yang boleh memesongkan landasan, tujuan dan niat sebenar. Sifat ikhlas ini juga tidak perlu memohon balasan orang kerana Allah SWT lebih maklum, memahami, melihat dan menilai keikhlasan itu. Balasan Allah adalah lebih asli kepada manusia; “buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat”.
Kunci 3: Tabah, berani, sabar, tawakal
Seseorang pemimpin mestilah mempunyai sifat tabah, berani, sabar dan bertawakal kepada Allah. Pemimpin seperti ini akan dapat menahan segala cabaran, rintangan dan pergolakan dalam kehidupan dan perjalanan perjuangannya sebagai seorang pemimpin yang hebat.
Maka, segala ketabahan dan keberanian akan menjadi satu benteng dan kubu kepada seseorang manusia jika sekiranya apa-apa dilakukan adalah benar; maka keberanian mengatasi segalanya demi mempertahankan kebenaran.
Sifat berani pula bukanlah berani membabi buta, tetapi berani yang mempunyai pemikiran dan penuh strategi demi menentukan kejayaannya. Sifat tabah pula bukanlah ketabahan yang tidak berilmu dan menjadi pak turut semata-mata. Sabarnya mempunyai wawasan dan perancangan.
Tawakal pula adalah satu keredaan kepada ketentuan Allah. Dengan adanya empat unsur ini, seseorang pemimpin akan dapat memimpin dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan berkasih sayang. Pemimpin seperti itu akan tetap dihormati sepanjang zaman seperti Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Raja Perempuan Kelantan yang pertama.
Kunci 4: Keazaman dan kemahuan yang kuat
Keazaman iaitu menanam satu semangat kekuatan dalam diri seseorang tanpa diganggu gugat oleh sesiapa pun. Ini ibarat sepohon pokok berbaka baik yang ditanam di tanah yang subur dan dijaga dengan sepenuh perhatian, supaya pokok itu dan akar tunjangnya dapat menerjah bumi menjadi pasak yang kukuh.
Pokok itu akan dapat tumbuh tinggi dengan mempunyai dahan dan ranting yang mengeluarkan daun, bunga dan buah agar dapat dimakan. Hasilnya akan dapat memberi manfaat kepada manusia sebagai pohon yang rendang untuk manusia berteduh di bawahnya. Itulah roh sepohon pokok.
Begitu jugalah dengan seorang manusia yang tumbuh membesar dan mempunyai keazaman serta kekuatan diri. Dengan adanya kekuatan dan kemahuan yang kuat, maka roh dalam jasad seseorang manusia akan menjadi segar dan berkembang. Apabila segar dan berkembang, setiap keazaman akan terhasil dengan cemerlang. Itulah kepimpinan yang dapat memanfaatkan manusia.
Kunci 5: Berkorban dan lemah lembut
Setiap pemimpin atau khalifah patut mempunyai sifat sanggup berkorban demi kepentingan para penyokongnya. Tanpa pengorbanan, pemimpin dan khalifah tidak boleh memimpin dengan berkesan dan berjaya. Pengorbanan lebih kepada sifat hamba kepada Allah. Sifat ini mestilah berhabis-habisan masa, mengurangkan kasih sayang kepada diri sendiri, wang ringgit dan harta benda demi mempertahankan kepentingan anak buahnya.
Setelah pemimpin itu berkorban, jiwa dan perasaan pemimpin itu akan menjadi lemah lembut kerana dibalut rasa kasih sayang kepada pengikutnya. Hanya apabila menyayangi para pengikutnya, maka pengorbanan masa, tenaga dan fikirannya akan ditumpukan sepenuhnya para pengikut atau anak buahnya.
Maka, segala pengorbanannya itu akan menjadi testimoni kejayaannya sebagai pemimpin yang dihormati dan disegani. Pemimpin ini akan terus dikenang dalam sejarah negara ataupun dunia.
Kunci 6: Tidak tamak kuasa
Syaitan sentiasa berlegar dan berkeliaran menanti mangsa yang lupa dan tidak sedarkan diri untuk dihasutnya ke jalan yang sesat. Ini mudah terjadi kepada manusia yang cuba mencari tapak untuk menjadi seorang pemimpin.
Syaitan dan iblis akan mula mencipta kerenah dan wayang untuk manusia melihat keseronokan. Perasaan tamak dan gila kuasa ini adalah sifat paling bahaya yang boleh meniti dalam setiap perjuangan seseorang pemimpin tidak beriman. Sifat ini akan dipandang buruk dan hina di mata manusia sekelilingnya. Sifat ini juga tidak akan mengenal nilai dan ajaran Islam sebenarnya.
Pemimpin seperti itu akan sanggup melakukan apa sahaja sama ada dengan kuasa wang, harta dan pangkat demi untuk menundukkan orang lain. Sifat ini tidak boleh diamalkan kerana pemimpin seperti ini telah dipengaruhi dan tunduk kepada syaitan. Untuk itu, kita mestilah istiqomah dengan sifat yang asas tadi, iaitu kembali kepada niat dan tujuan serta ajaran Islam.
Kunci 7: Berhati bersih, keharmonian
Setiap tindak tanduk dan tingkah laku mestilah mempunyai perasaan positif, iaitu sentiasa berdoa agar niat dan tujuan yang dilakukan dirahmati dan diterima oleh Allah SWT. Hati sepatutnya bersih, tidak bersangka buruk dan membawa fitnah kepada orang lain mahupun kepada sesebuah negara.
Hati yang bersih mestilah tercermin dalam setiap kelakuan, tindakan dan keputusan yang diambil oleh seseorang pemimpin. Ini tentunya akan mempengaruhi kemakmuran tanah air, bangsa dan agamanya. Dengan keputusan yang baik itu, seseorang pemimpin akan dapat melahirkan keharmonian jiwa dan mensejahterakan kehidupan bangsa atau rakyatnya.
Kunci 8: Berilmu dan berpandangan jauh
Manusia yang berilmu bukan sahaja belajar di universiti, di pondok dan juga membaca buku. Tiga elemen ini mesti dan wajar ditakluki setiap manusia, tetapi berilmu juga merujuk kepada penelitian pemimpin untuk setiap perkara yang berlaku di sekelilingnya. Dengan penelitian terhadap alam sekeliling dan manusia berkaitan dengannya, seorang pemimpin itu akan bersifat sensitif akan persekitarannya.
Dari situ juga dia akan dapat menimba ilmu kemasyarakatan yang berlaku setiap hari untuk memudahkan dia memahami pelbagai persoalan kehidupan. Dengan itu, segala dasar pentadbiran yang dilakukan akan dapat menyelesaikan atau mengatasi persoalan masyarakatnya.
Untuk itu juga, seseorang pemimpin mesti berpandangan jauh sehingga dapat berfikiran matang untuk memimpin masyarakat. Seseorang pemimpin bukan sahaja memerlukan ilmu bertulis yang boleh dipelajari, tetapi juga ilmu kerohanian dan psikologi untuk menghalusi sebarang tindakannya.
Dengan mata hati yang tajam dan halus, seorang pemimpin seharusnya mencontohi sifat mulia Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, setiap tindakan dilakukan oleh pemimpin akan menghasilkan kejayaan yang cemerlang.
Kunci 9: Bersyukur dan reda
Setelah seseorang pemimpin itu mendapat kejayaan cemerlang, rasa syukur itu wajib dilakukan kepada Allah SWT kerana tanpa kekuasaan-Nya tidak mungkin kejayaan itu akan dicapai. Kehendak dan keizinan Allah yang menentukan hala tuju kejayaan dan kegagalan seseorang.
Sebagai hamba-Nya, pemimpin itu mesti bersyukur. Sebagai manusia yang kerdil di sisi Allah, seorang pemimpin itu mesti dengan penuh reda, menerima ketentuan-Nya. Dengan itu pemimpin berkenaan akan berasa tenang dalam setiap dugaan mendatang. Mereka akan menjadi pemimpin tidak berkonflik dengan dirinya, masyarakat dan negara. Itulah sifat pemimpin terpuji.
Kunci 10: Sifat pemaaf dan benar
Pemimpin baik bukanlah seorang pendendam. Dia sepatutnya menjadi seorang insan yang pemaaf. Dia sepatutnya menyedari bahawa kejadian dan asal usul manusia itu datang daripada ciptaan Allah. Maka, dia hanyalah seorang hamba sahaja di bumi ini, Yang Maha Berkuasa ialah Allah SWT. Mempunyai sifat pemaaf itu akan mengeratkan silaturahim dalam hubungan sesama manusia. Ini juga dapat mengelakkan konflik yang berpanjangan. Inilah pemimpin tergolong dalam insan yang benar.
Kunci 11: Bijaksana, cekap, tajam pemikiran
Seseorang manusia, pemimpin atau khalifah mesti mempunyai sifat kebijaksanaan dan tajam pemikirannya. Pemikiran ini mesti diasah dan disucikan agar pemimpin itu akan bertindak dengan cekap dan matang.
Seorang pemimpin itu tidak boleh mempunyai sifat malas, menangguk di air keruh, mempunyai agenda jahat dan tidak bermaruah. Sekiranya sifat-sifat itu dilakukannya, maka tertutuplah pancar kebijaksanaannya dan tumpullah pemikirannya. Mereka ini tergolong dalam kalangan manusia hina kerana suka mencari jalan pintas untuk berjaya.
Pemimpin seperti ini sanggup menggadai negara dan maruahnya dan akan menjadi pengemis di tanah airnya sendiri. Pemimpin bijaksana tidak akan menjadi pembelot bangsa, agama dan negara.
Kunci 12: Percakapan tidak berdusta
Pemimpin bercakap dusta ialah pemimpin yang mempunyai hati busuk dan jiwa kacau bilau. Pemimpin seperti ini juga memiliki hati penuh dengan kepentingan nafsu. Pemimpin yang suka berdusta selalunya terperangkap dengan niat dan tujuan hidupnya sendiri.
Pemimpin yang tidak mempunyai prinsip hidup berintegriti, selalunya mempunyai tabiat suka berdusta. Dia akan menabur janji, tetapi tidak menunaikannya. Pemimpin seperti ini juga pandai mencari alasan untuk menutup pembohongannya. Ia tidak sepatutnya diterima oleh masyarakat.
Kunci 13: Jiwa dan kemanusiaan
Setelah mengamalkan atau memiliki elemen-elemen positif di atas, seseorang pemimpin itu akan menjadi manusia yang penuh dengan jiwa bersifat kemanusiaan. Dengan keadaan seperti itu, dia akan mempunyai jasad dan jiwa yang kamil. Dengan kehalusan tingkah laku yang terpancar daripada jiwa penuh kemanusiaan, seseorang pemimpin itu akan sentiasa mengenal dan mendekatkan dirinya dengan Allah. Dengan itu, segala tindak tanduknya akan terpelihara dan memberi faedah kepada tanah air, bangsa dan agamanya.
Kunci 14: Kenal diri dan sejarah serta wujudnya pemimpin lama
Seseorang pemimpin itu sepatutnya tidak lupa pada asal usulnya, sejarah tanah air dan wujudnya pemimpin lama serta al-Quran sebagai kitab suci daripada Allah SWT. Dengan kata lain, seorang pemimpin itu patut mengenal keturunannya yang tentunya telah menyumbang kepada kebolehan sebagai pemimpin.
Kata pepatah Melayu, “baka baik jatuh ke laut menjadi pulau”. Ertinya, tanpa keturunan pemimpin sebelumnya, seseorang itu tidak akan menjadi pemimpin pada hari ini. Sejarah juga memainkan peranan untuk mendekatkan seseorang pemimpin itu dengan tanah air, bangsa dan agama. Tanpa pengetahuan itu, tidak mungkin seseorang pemimpin itu akan dapat melaksanakan tugasnya sebagai pemimpin kepada anak buah dan negaranya.
Seorang pemimpin juga mesti mempunyai rasa cinta yang tinggi kepada sejarah bangsa dan negaranya. Itulah identiti dan fokus perjuangannya. Al-Quran menjadi panduan dan dasar agama Islam yang mesti dibawa bersama dalam proses kepimpinan yang dilaksanakan. Tanpa panduan agama Islam, seseorang pemimpin itu akan melakukan banyak kesilapan dan kejahatan sehingga boleh memudaratkan nasib tanah air, bangsa dan agama.
Pemimpin-pemimpin lama juga jangan dilupa jasa mereka, kerana tanpa mereka segala asas tamadun bangsa tidak akan terbina dan menjadi warisan kepada generasi hari ini.
Kata Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, “jangan lupa pada kasut yang dipakai dulu” kerana jasa tanah air dan para pemimpin lalu ialah paksi dan intipati kelangsungan bangsa pada hari ini.
Buku Kunci Mahathir itu telah diterbitkan sewaktu orang Melayu Kelantan khasnya dan Malaysia umumnya memerlukan kemantapan dan kematangan para pemimpin untuk menerajui keselamatan dan perpaduan bangsa Melayu dan agama Islam.
Konflik politik akibat pemecatan Anwar Ibrahim juga menimbulkan gelora dalam politik negara. Maka, kelahiran buku ini dengan pesanan Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang melalui Kak Lah, adalah satu ingatan politik yang amat penting.
Mungkin ada pihak yang melihat buku ini sebagai satu perkara biasa kerana teori kepimpinan yang dibicarakan oleh buku-buku akademik lebih komprehensif lagi. Namun, untuk masyarakat biasa, gagasan ringkas ciri kepimpinan yang baik dalam buku ini boleh digunakan untuk menilai kepimpinan yang ada pada hari ini.
Mungkin UMNO belum dapat menumbangkan Pas dalam PRU 1999, tetapi sekurang-kurangnya pandangan dan harapan Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang itu telah dilaksanakan oleh Kak Lah untuk tatapan umum.
Kemenangan Pas dalam PRU 1999 mungkin kerana ada sebab-sebab lain yang lebih menonjol. Buku Kunci Mahathir ini memberi alternatif kepimpinan yang lain kepada rakyat Kelantan. – NasionalDaily
Bersambung
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252