JASIN – Urusan jual beli perisa rokok elektronik (vape) berperisa “mushroom” berakhir tragedi apabila seorang lelaki maut selepas dipercayai ditikam dalam pergaduhan di sebuah taman permainan di Taman Muhibbah, Merlimau, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa berusia 30 tahun dilaporkan mengalami tikaman di bahagian belakang kanan badan sehingga menembusi paru-paru kanan, selain kecederaan pendarahan di kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Supt Lee Robert berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pada jam 1.26 tengah hari.
Menurut beliau, seorang lagi mangsa berusia 26 tahun turut cedera selepas mengalami luka hirisan pada tangan kanan dan rusuk kanan, selain calar pada muka.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu malam tadi sebelum berjaya menahan empat lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai tercetus akibat perselisihan faham ketika urusan jual beli vape berperisa tersebut sehingga menyebabkan suspek tidak berpuas hati sebelum bertindak agresif terhadap mangsa.
Lee berkata, keadaan menjadi semakin tegang selepas salah seorang mangsa dipercayai menegur dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek.
“Suspek kemudian mengejar kedua-dua mangsa sebelum menyerang mereka menggunakan pisau, manakala dua lagi suspek dipercayai turut memukul mangsa dengan tangan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa sempat melarikan diri dengan menaiki kereta sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Merlimau dan seterusnya dirujuk ke Hospital Melaka.
Dalam perkembangan sama, polis turut merampas beberapa barangan termasuk pakaian, telefon bimbit, sepasang selipar dan sebilah pisau patah yang mempunyai kesan disyaki darah bagi membantu siasatan.
“Hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, manakala ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif methamphetamine,” katanya.
Menurut beliau, bedah siasat akan dijalankan di Hospital Melaka esok bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L