Siri Ke-17: Kisah Syeik Putra

Siri Ke-17: Kisah Syeik Putra

SEWAKTU Kak Lah berjumpa dengan Mak Bonda, wanita itu ada menyatakan untuk memiliki anak yang diberi nama Putra. Mak Bonda juga pernah mengandung, tetapi dengan kuasa Allah SWT, ketika kandungannya mencecah tujuh bulan, ia dikatakan hilang atau ghaib.

Mak Bonda juga mengatakan kepada Kak Lah, anak dalam kandungan Kak Lah sepatutnya kembar, yang mana seorang di atas dan seorang lagi di bumi. Putra seorang kembar kayangan iaitu kembar di atas oleh sebab itu terdapat tanda di dahi dan juga di betis.

Satu lukisan Kapal Bahtera yang tercatat “Putra” dalam lukisan telah ditemukan di rumah Mak Bonda. Di kepala kapal tersebut terdapat Petalawati yang bermaksud bahtera ini yang belayar sewaktu melahirkan Syeik Putra. Maka, Kak Lah telah mendapat satu mimpi memakai cincin berlian ketika mengandung. Mak Bonda agak terkejut dengan kelahiran anak lelaki Kak Lah.

Ujian semasa mengandung

Ketika mengandung, ujian yang diterima Kak Lah sangatlah besar, yang mana kesusahan dalam perkahwinan Kak Lah dengan Dr. Halim Hamat yang tidak memperlihatkan seorang suami bertimbang rasa dan bertanggungjawab.

Dalam melayari kehidupan berumah tangga, akhirnya Kak Lah memahami dan telah melawan semua ujian yang menimpa diri dan seterusnya lulus dalam ujian sehingga Kak Lah dianugerahi seorang cahaya mata, yang diberi nama Syeik Putra oleh suaminya. Keturunan Dr. Halim adalah dari Yaman dan dia juga turut diuji Allah SWT dan akhirnya beliau dapat menerima hakikat dan reda dengan ketentuan takdir, maka beliau menjaga dan memberi nafkah setiap bulan kepada Putra.

Kelebihan seorang anak, Syeik Putra

Kelahiran Syeik Putra sangat Istimewa. Dia membawa rahmat kepada kehidupan Kak Lah. Kehidupan Kak Lah menjadi senang dengan kelahirannya. Syeik Putra juga mempunyai petanda yang sama seperti Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri keempat.

Pada 11 April 2002, Tun Dr. Mahathir telah datang ke Kota Bharu untuk menyaksikan majlis diraja perarakan burung Petalawati ke istana negeri, yang dianjurkan oleh Dato’ Ibrahim Ali. Pada malam itu Kak Lah telah bermimpi, Tun Dr. Mahathir mempunyai tanda hitam di betisnya.

Pada 12 April 2002, jam 10.15 pagi, iaitu keesokan harinya di Kota Bharu Medical Centre (KBMC), Kak Lah telah melahirkan seorang anak lelaki, yang juga mempunyai tanda hitam seperti tanda di betis Perdana Menteri seperti dalam mimpinya.

Bagaimanapun, tanda itu terdapat di dahi dan juga betis bayi itu yang dilahirkan dengan berat 4.2 kilogram dengan hampir mengorbankan nyawanya sendiri. Bayi itu kemudian dinamakan Syeik Putra dengan dipersetujui Mak Bonda.

Syeik Putra dilahirkan berkulit cerah, namun menjadi hitam manis apabila besar. Sifat peribadi Syeik Putra amat terpuji. Putra dilihat seorang yang lemah lembut, taat kepada ibu bapa serta tidak pernah mengeluh. Kelahirannya sebenarnya dilihat pembawa rahmat kepada kehidupan Kak Lah.

Kelab Bumi Rahmat yang diasaskan Kak Lah menjadi titik tolak kepimpinan Kak Lah dalam kerja masyarakat dan badan bukan kerajaan. Malah, seperti namanya, sesiapa sahaja yang bernaung di bawah payung Bumi Rahmat turut mendapat nikmat dan hikmahnya.

Tanpa disangka, Tun Dr. Mahathir mengisytiharkan pinjaman kredit kepada Kelab Bumi Rahmat beberapa bulan selepas kelahiran Syeik Putra. Sebenarnya Kak Lah pernah bermimpi mengenai kasut dan selipar yang penuh di pejabatnya; rupa-rupanya, mimpi tersebut petanda Kak Lah akan membantu orang miskin, usahawan kecil dan sederhana seramai 6,500 orang, melalui pinjaman mikro kredit sebanyak RM25 juta daripada kerajaan Malaysia, yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

Setiap peminjam yang layak diberi pinjaman sebanyak RM2,000 hingga RM20,000. Ini dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab oleh Kak Lah sebagai Pengerusi Kelab Bumi Rahmat.

Hari demi hari Kak Lah menjalani kehidupan yang amat perit, yang dilalui bersama anak-anaknya, sehinggakan beliau terpaksa terus menggunakan kereta yang ada walaupun cukai jalan telah tamat tempoh kerana tidak mampu membayarnya. Walaupun diberitahu masalah itu, suaminya tidak mahu menolong.

Hanya Allah SWT yang mengetahui perit dan getir yang terpaksa Kak Lah tempuhi untuk membesarkan anak-anak. Walaupun Kak Lah telah melakukan yang terbaik kepada anaknya, namun suaminya tidak mampu melakukan yang terbaik kepada Kak Lah sebagai isteri. Suaminya telah berlaku curang dan mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang jauh lebih muda.

Kak Lah telah dihina dengan begitu teruk sekali oleh madunya. Penghinaan yang diterima oleh Kak Lah seolah penghinaan yang dilalui oleh Puteri Saadong oleh madunya Mayang Sari yang menghasut Raja Abdullah.

Syeik Putra tidak pernah tinggal bersama ayahnya sepanjang kehidupannya selama 13 tahun. Bagaimanapun, ayahnya sentiasa memerhati dan menjaga jiwa serta batin Syeik Putra dari jauh. Kehidupan sehariannya hanya bersama nenek dan bondanya.

Bakat seninya seperti menyanyi, menari dan dikir barat sangat terserlah. Syeik Putra juga pernah menyertai pasukan tarian di sekolahnya ke Program Festival Kesenian Antarabangsa International Folklore Children Festival Rabat-Sale, Morocco yang diadakan pada 23 hingga 29 Julai 2015.

Pasukannya juga pernah menari di Istana Negara di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan sebagainya. Terdapat pada diri Syeik Putra itu darah seni Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang.

Inilah ilmu-ilmu Mak Bonda yang telah kembali dan wujud semula. Syeik Putra juga merupakan seorang pewaris kepada Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia dan Mak Bonda juga telah berpesan kepada Kak Lah, selepas wanita, pewaris seterusnya haruslah seorang lelaki dan apabila dia sudah besar nanti, dia yang akan menjadi pewaris ilmu Kak Lah.

Lelaki tersebut adalah Syeik Putra yang juga akan membantu meneruskan amalan sistem kepimpinan dalam pertubuhan ini dan akan sentiasa aktif dalam NGO ini. Untuk makluman, NGO ini tidak ada kaitan dengan istana.

Pada hari ini, hubungan baik telah terjalin antara Kak Lah dengan bekas suaminya. Mereka tidak bergaduh dan tidak menyalahkan antara satu sama lain mengenai takdir yang ditentukan Allah SWT. Mereka juga telah sedar dan insaf bahawa tanggungjawab untuk menjaga anak adalah sangat penting. Itulah ilmu yang diinginkan oleh Mak Bonda; anak-anak adalah anugerah yang tidak ternilai dan amanah Allah SWT.

Inilah ilmu wanita yang dibawa pada hari ini, yang kebiasaannya apabila suami mengabaikan dan tidak dapat menangani kehidupan kita, maka kita akan memburukkan suami sehinggakan anak-anak terbiar. Ini akan menyebabkan anak-anak akan rosak akhlaknya berikutan dari kurangnya kasih sayang ibu bapa.

Selain itu, juga terdapat banyak perceraian yang berlaku di Kelantan dan hampir RM5,000 ibu tunggal pada tahun 2003. Kak Lah juga melihat wanita pada hari ini apabila suami tidak dapat memenuhi kehendak nafsunya akan terkeluar bahasa kesat daripada isteri yang dilemparkan kepada suami.

Mak Bonda juga telah berpesan kepada Kak Lah untuk menjaga dan terus menyambung ilmunya dengan penuh adat istiadat warisan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang.

Keturunan Raja

Pada tahun 2007, Tok Ku Mat Limbat telah memberitahu dan menceritakan siapa Kak Lah sebenarnya. Di sini, baharulah Kak Lah dapat memecahkan kebuntuan selama ini. Rupa-rupanya beliau berketurunan raja bermula dengan Tengku Ibrahim (Tan Brahim atau Tuan Brahim), iaitu ayahanda sebelah bonda (nenda) yang berketurunan Long Ghaffar mengahwini seorang wanita bernama Embun@Mek Bunga berketurunan raja Pahang.

Hasil perkongsian hidup mereka, lahirlah tujuh anak dan anak kelima bernama Mek Jah@Tuan Jah (Tengku Khadijah), iaitu ibu kepada Kak Lah. Tuan Ibrahim merupakan pendekar Istana Cerang, Semerak. Tetapi, beliau suka berjudi. Beliau dikatakan mempunyai harta yang sangat banyak di Machang, tetapi habis akibat kalah dalam judi. Oleh kerana terlalu malu, beliau melarikan diri ke suatu tempat yang jauh dari Embun dan anak-anaknya.

Tuan Ibrahim telah menukar nama kepada Mohd Noor dan ini menyebabkan tiada seorang anak pun mempunyai gelaran “Tuan” di pangkal nama. Tok Ku Mat Limbat membawa Kak Lah ke pejabat Pertubuhan Kerabat Long Ghaffar Kelantan (PKLGK) untuk didaftarkan sebagai ahli kerabat atas nama Fadzillah binti Hussin, iaitu tanpa gelaran Tengku atau tuan di hadapan.

Walaupun ada juga sesetengah kerabat Long Ghaffar yang tidak malu dan cuba mempertikaikan keturunan Kak Lah daripada Long Ghaffar, tetapi Kak Lah yakin dengan apa yang telah ditakdirkan Allah SWT, jikalau tidak ada restu dan keizinan-Nya, maka Kak Lah tidak akan dapat melihat kebenarannya dan bukti yang berlaku kepadanya.

Di Kelantan, khususnya di Malaysia terdapat ramai yang berketurunan raja, tetapi mereka telah membuang gelaran tersebut atas faktor seperti miskin dan takut kepada penjajah Jepun pada masa dahulu. Lebih kurang 60 peratus rakyat di Kelantan yang berdarah raja dan berketurunan Raja Kelantan.

Terdapat banyak wilayah pada masa dahulu. PKLGK telah cuba mempertikaikan apabila Kak Lah mula mencari nasab dan berhasrat untuk menukar namanya. Bagi Kak Lah, beliau telah bertanggungjawab untuk menjalankan nasab. Pihak Jabatan Pendaftaran Negara yang tidak melakukan pertukaran gelaran tersebut adalah hak ke atasnya dan hak Kak Lah telah pun selesai.

Dalam PKLGK, Kak Lah sangat aktif sehingga dilantik sebagai Bendahari walaupun ketika itu baharu saja menyertai pertubuhan itu. Kak Lah telah mencurahkan sepenuh tenaganya memajukan pertubuhan itu. Bagaimanapun, suaminya turut bercita-cita tinggi dan ingin menjadi pemimpin. Dia telah bersama dengan sebuah kumpulan Mengaji Quran Tanggungjawab Kita (MQTK), cuba menjatuhkan imej dan kedudukan Kak Lah.

MQTK ialah sebuah kumpulan yang dikatakan mengamalkan ilmu hakikat dan tarekat agama yang bercita-cita besardan mengaku berasal dari keturunan Bani Hasyim. Suami beliau percaya dan yakin boleh menakluk Nusantara.

Nama suami Kak Lah telah dicadangkan oleh kumpulan ini sebagai penasihat PKLGK ketika mesyuarat agung. Ini kerana kedudukannya sebagai pemilik pondok tahfiz di Lubuk Kuin Gunung, Bachok. Kak Lah memberitahu bahawa Dato’ Dr. Halim Hamat itu suaminya.

Ini menyebabkan suaminya marah kerana membocorkan rahsia perkahwinan mereka. Beliau lalu memburukkan Kak Lah dengan pelbagai tuduhan yang turut menghina, memfitnah dan mengata Kak Lah dengan sesuka hatinya. Semua tuduhannya itu ditulis dalam empat muka surat dan disebarkan kepada semua jawatankuasa PKLGK dan kenalan Kak Lah. Ini menyebabkan hubungan mereka mulai tegang.

Memandangkan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan pendirian Kak lah, satu surat pekeliling telah dihantar kepadanya oleh mereka yang bersubahat dengan Dr. Halim. Mereka cuba untuk memecat keahlian Kak Lah dari kerabat PKLGK. Kezaliman pihak yang berkenaan sememangnya melampaui batas;

Mereka menghina, mencaci dan membuat tuduhan melampau terhadap Kak Lah yang berkaitan dengan maruah.

Inilah padahnya apabila seseorang itu terlalu berkehendak dan berkeinginan sesuatu kuasa dan kedudukan sehinggakan mereka sanggup membuat khianat dan kezaliman. Mereka sanggup berbuat begitu kerana mereka berpendapat Kak Lah telah menjadi batu penghalang kepada niat mereka untuk mendapatkan kuasa. Tetapi akhirnya mereka dimurkai Allah SWT dan mendapat balasannya.

Suami Kak Lah yang sebelum ini tidak menghiraukan kehidupan Kak Lah serta anak-anak telah menyedari mereka yang menghasutnya itu telah mengamalkan ilmu sihir untuk mempengaruhinya. Maka, beliau datang berjumpa Kak Lah meminta maaf.

Kak Lah meneruskan kehidupannya yang penuh onak dan duri. Pada ketika ini, aktiviti Kelab Bumi Rahmat terhenti seketika dan hampir berkubur. Kak Lah termenung mengenangkan nasib malang yang sentiasa merundung dirinya. Dia mengadu nasib kepada Mak Bonda dan menerima nasihatnya supaya bersabar, tabah dan sentiasa bertawakal kepada Allah SWT dalam mengharungi kehidupan ini.

Ternyata bantuan Allah SWT kepada Kak Lah bukanlah sedikit. Allah SWT sentiasa memberikan jalan keluar walau sesusah mana masalahnya. Akhirnya, suami Kak Lah telah menyerahkan perniagaan dimiliki isteri mudanya di Chica, Kubang Kerian kepada Kak Lah untuk diuruskan. Kak Lah akhirnya dapat mengatasi kemelut dengan suaminya.

Tanpa kerelaan Dr. Halim, Kak Lah telah mendaftarkan perkahwinannya di Pejabat Agama Islam Negeri Kelantan. Bagi Kak Lah, lelaki yang tidak ikhlas dan tidak mampu menegakkan kebenaran, tidak boleh menjadi khalifah kehidupannya.

Beliau telah perjuangkan haknya dengan tabah dan mengikut undang-undang. Akhirnya, Kak Lah berjaya mempertahankan maruahnya sebagai seorang isteri yang sah di mata perundangan negeri.

Menguruskan perniagaan yang diserahkan oleh suaminya itu bukanlah suatu yang mudah. Terlalu banyak masalah yang dipikul dan terpaksa dilangsaikan. Kudratnya sebagai seorang wanita juga ada batasnya. Pada suatu ketika, sedang sibuk menguruskan perniagaan di Pasar Basah, Kak Lah telah ditimpa kesakitan pada lutut sehinggakan tidak dapat berjalan dengan selesa dan terpaksa sembahyang dengan duduk atas kerusi.

Ini telah menimbulkan kehairanan pada dirinya memandangkan kesakitan tersebut berlaku secara tiba-tiba. Kak Lah telah ke rumah tok guru yang arif bagi menanyakan perihal berkenaan. Tok guru berkenaan menyatakan Kak Lah tidak boleh berdagang, tetapi hanya boleh mengubat orang dan membantu orang.

Pada suatu petang, adik Kak Lah mengalami sakit perut. Kak Lah membuat air penawar dan dia telah meminumnya. Setelah sakit perut adiknya hilang, pada masa sama juga sakit lutut Kak Lah turut hilang. Dari sini, pesan Mak Bonda mengenai ilmu ketabahan diri sebagai seorang wanita, ternyata diakui oleh Kak Lah; tawakal kepada Allah SWT dan beriktiar mengatasi cabaran hidup merupakan asas kepada kejayaan hidup yang sebenar.

Kepayahan hidup Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang sebagai seorang wanita dan pemimpin yang berwibawa, terus kekal sebagai ilmu yang dipusakai merentas zaman. Kak Lah melihat dirinya dalam perjuangan hidup yang perit, tetapi akhirnya berjaya mengatasinya. Inilah ilmu yang dipadankan dengan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang melalui penceritaan Mak Bonda itu.

Membuka Pusat Rawatan

Pada saat Kelab Bumi Rahmat tidak lagi bergiat secara aktif, pada tahun 2008, Kak Lah telah membuka Pusat Rawatan Pembangunan Insan Bumi Rahmat. Melalui pusat rawatan ini yang beroperasi di pejabat bersebelahan Pasar Basah miliknya, Kak Lah dapat mendekati pelbagai keturunan yang datang untuk berubat. Hari demi hari Kak Lah berusaha menjauhkan diri dari suami tanpa bercerai. Suaminya terpaksa menanggung seksa batin yang amat sangat sehinggakan telah mengadu kepada Kak Lah, dia telah jatuh sakit dan lemah. Namun, sebagai seorang wanita yang tegas dan berprinsip, Kak Lah tetap mempertahankan hati dan jiwa demi maruah.

Pada masa sama, Kak lah telah menyerahkan kembali perniagaan Pasar Basah kepada suaminya dan menumpukan perhatian membantu merawat orang sakit dan mempunyai permasalahan rohani dengan meneruskan khidmat Pusat Rawatan di kediamannya. Kak Lah telah dapat meneruskan kehidupan dengan aman dan tenang.

Pada saat ini, ibu kandung Kak Lah sudah tua dan uzur. Dia selalu merungut bersimpati dengan nasib Kak Lah dengan menyatakan, Kak Lah ialah anak Tengku Syed Yusuf kepada jiran, sahabat Kak Lah dan juga pada anak menantunya.

Pernah terlintas di fikiran Kak Lah, dengan cara kehidupannya jelas ciri-ciri anak raja memang ada pada dirinya. Pada 1 November 2010, bonda tersayang Mek Jah binti Ibrahim telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah.

Pada tahun 2012, Kak Lah mendapat kekuatan dalam hatinya untuk menyelesaikan kemelut perkahwinannya secara sah. Maka, Kak Lah dan suami dengan rela hati bersetuju bercerai dengan baik di mahkamah dan penuh silaturahim pada 6 Mac 2012. Perceraian itu mengejutkan banyak pihak. Namun, Kak Lah merasa lega dengan tamatnya episod perkahwinan yang penuh dengan penderitaan. Namun, kelahiran Syeik Putra menjadi sinar baharu dalam hidupnya.

Majlis penerimaan diri

Ternyata Kak Lah telah berjaya mengharungi pelbagai rintangan dan pergolakan hidup yang berlaku terhadap dirinya dengan tabah sekali. Ketabahannya itu telah membolehkan dirinya menerima ilmu pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang secara perlahan-lahan. Beliau yakin ilmu yang diwarisi adalah untuk menguji hati seorang wanita supaya tabah dan sanggup menerima apa sahaja cabaran yang menimpa dirinya.

Dia tidak melakukan perkara yang ekstrem seperti Puteri Saadong yang hilang pertimbangan sehingga sanggup membunuh suaminya, kerana tidak dapat mengawal kemarahannya. Sebaliknya, Kak Lah telah berjaya menunjukkan kekuatan batinnya walaupun dizalimi oleh suaminya. Kak Lah juga dapat mengatasi pelbagai dugaan hidup termasuk kegagalan dalam perniagaan dan sebagainya, demi menjadi seorang wanita yang bermaruah dan berwawasan.

Pada 16 dan 17 Jun 2012, Majlis Perasapan dan Pengisytiharan nama Fadzillah binti Hussin kepada YM Tengku Seri Nara Syarifah Fadzillah Puteri dimasyhurkan dengan dipayungi oleh ilmu Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang. Surah al-Maryam telah dibaca oleh Ustazah Wan Aznah binti Wan Ahmad, sebagai tanda kebesaran Allah SWT yang boleh melakukan apa sahaja untuk menentukan nasib dan rezeki makhluknya.

Kak Lah tidak meminta untuk lahir ke dunia dengan cara yang dilalui oleh ibunya yang menjadi mangsa keadaan kehidupan. Namun, Allah SWT menentukan segala cerita hidupnya. Ibunya terpaksa melalui segala kesedihannya itu dengan sokongan suaminya Hussin, yang sanggup semati dengannya. Dengan ketentuan Allah SWT juga Majlis Perasapan dan Pengisytiharan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sebanyak tujuh das tembakan telah dilepaskan mengiringi pengisytiharan namanya itu di Home Beach Village Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan. Kak Lah telah mengisytiharkan dirinya dengan berbinkan benih yang sebenar, iaitu Tengku Syed Yusuf. Majlis itu telah dilakukan sempena Mesyuarat Agung Pertubuhan Kerabat Long Ghaffar Kelantan, yang dipimpin oleh YM Prof. Dr. Engku Ibrahim bin Engku Ismail.

Dengan pengisytiharan itu, identiti keturunannya yang terpendam begitu lama dapat diperbetulkan dan diisytiharkan kepada masyarakat. Cerita sedih ibunya dapat ditamatkan. Kak Lah juga dapat menerima pewarisan ilmu Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang secara tuntas. Ilmu itu diperturunkan kepada keturunannya dengan teratur, walaupun peristiwa dan sejarah kerajaan-kerajaan Melayu itu telah beratus-ratus tahun lamanya berlaku. Namun, keturunannya seperti Kak Lah tetap hidup dan bersedia untuk meneruskan warisannya.

Mimpi-mimpi yang dialaminya dan kebolehannya sebagai tukang ubat, bersilat dan menari tarian tradisional, menjadi pelengkap kepada keturunannya itu.

Majlis telah berlangsung dengan pakaian penuh adat istiadat diraja. Kak Lah telah diusung dengan menggunakan pengusung buluh oleh anggota keturunan yang berasal dari Tanah Serendah Sekebun Bunga. Kak Lah juga telah menyerahkan segala salasilah beliau kepada Jabatan Pendaftaran Negara di negeri Kelantan untuk memperbetulkan nasab keturunannya agar gelaran Tengku boleh didaftarkan dalam kad pengenalannya.

Sempena Majlis Perasapan dan Pengisytiharan itu juga, Majlis Menandatangani Bai’ah Taat Setia Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V telah diadakan. Dengan ini, Kak Lah bukanlah menuntut takhta atau apa-apa yang berkaitan dengan pengisytiharan namanya itu.

Kak Lah hanya mahu menentukan nasabnya dan mendokong warisan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang. Taat setianya tetap kepada Sultan Kelantan, iaitu Sultan Muhammad V. Ini difahami oleh pihak istana; oleh itu, majlis telah berjalan dengan lancar tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

Pihak istana juga tidak menghalangnya. Pihak Cawangan Perisik (Special Branch) yang turut hadir sama, juga memberi sokongan kepada majlis itu. Majlis itu dilaporkan tidak bersalahan dari segi undang-undang atau mencabar pihak istana. Malah, menurut Kak Lah, semua pihak yang terbabit membiarkan Kak Lah dengan kehidupannya sendiri. – NasionalDaily

Bersambung

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *