SHAH ALAM – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), sebuah pertubuhan politik perlu memberi penjelasan kepada masyarakat negara ini mengenai matlamat penubuhan organisasi itu.
Demikian disarankan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali ketika menyampaikan ucapan aluan-aluannya dalam perjumpaan parti itu dengan HTM di sini, semalam.
Perkara itu disampaikan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra, Mohamed Shahrin Ismail kepada NasionalDaily selepas turut menghadiri dalam perjumpaan pimpinan Putra dengan HTM di sebuah hotel dekat sini.
Menurut beliau, Presiden Putra berpuas hati dengan penjelasan HTM, tetapi pada masa sama ia perlu dijelaskan kepada rakyat mengenai matlamat dan perjuangannya agar segala tanggapan atau stigma negatif mengenai pertubuhan itu terjawab.
“HTM ada memberi lebih informasi mengenai mereka kepada pimpinan Putra dan perkara sama perlu disampaikan kepada rakyat Malaysia supaya segala tohmahan terhadapnya dapat ditangkis.
“Dalam pertemuan itu, khususnya untuk kali ketiga bagi Presiden Putra, ia sangat kondusif kerana pimpinan HTM menerangkan dengan lebih jelas mengenai mereka.
“HTM adalah parti politik yang berideologi Islam. Politik merupakan aktivitasnya dan Islam adalah mabda-nya iaitu pandangan yang mendasar mengenai kehidupan,” katanya.
Turut hadir, Dr. Ibrahim; Naib Presiden Putra, Datuk Asmawar Samat; Setiausaha Putra, Rosdi Idris; Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif; Ketua Wira, Nasrul Hasan Ali; ADT, Dr Izwan, Mohamed Shahrin dan Razali Hussain.
Pimpinan HTM dihadiri saudara Hakim selaku jurucakap pertubuhan itu, selain Dr. Tarmizi, Dr. Saifuddin, Mu’az, Omar dan beberapa pimpinan muda dalam diskusi mengenai umat Islam dan negara.
Menurut Mohamed Shahrin, pertemuan itu adalah atas jemputan rasmi pimpinan HTM bagi membincangkan beberapa isu semasa umat Islam dan negara.
Terdahulu, Dr. Ibrahim dan ADT Putra dijemput sebagai tetamu VVIP pada Muktamar HTM 2024 dan pihaknya melihat ia diadakan dengan jayanya berikutan kehadiran lebih 1,000 hadirin.
“Ini menyaksikan taat setia kepimpinan yang amat baik dan diskusi antara ahli baik golongan muda dan berusia yang amat bagus serta sesuai dengan apa yang mereka perjuangkan iaitu Islam sebagai pimpinan kehidupan.
“Mereka bergerak di tengah umat dan bersama berjuang menjadikan Islam sebagai perkara utamanya dan membimbing mendirikan kembali sistem khilafah yang menegakkan hukum berdasarkan apa yang telah diturunkan Allah dalam realiti kehidupan ini.
“Presiden dan Putra juga telah dijemput pimpinan HTM untuk bersama menghantar memorandum bantahan kepada kedutaan Mesir dan Jordan Jun lalu,” katanya.
Beliau berkata, puncak kemarahan umat Islam dizahirkan ketika pimpinan HTM menghantar memorandum ke kedutaan Amerika mengenai isu Palestin di Gaza dan ucapan Dr. Ibrahim di hadapan beribu umat Islam Malaysia yang bersama membantah tindakan negara yang dianggap polis dunia yang hanya berdiam diri apabila Israel membantai rakyat Palestin.
Katanya, tindakan pimpinan HTM berkeras mendesak kerajaan Madani membatalkan hasrat menjual saham MAHB kepada syarikat BlackRock juga dilakukan melalui serahan memorandum di Putrajaya.
“Dalam isu ini, Putra menghantar tiga memorandum mengenai isu yang sama ke Pejabat MAHB di KLIA, Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan juga Pejabat Khazanah di Kuala Lumpur.
“Ini membuktikan kesungguhan Putra dan HTM untuk memastikan nasib rakyat Palestin terbela,” katanya.
“Sebagai sebuah negara yang bertulang belakang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan juga dipimpin dan diterajui oleh pemimpin beragama Islam sewajarnya segala hubungan diplomatik ataupun perniagaan bersama negara Israel harus diputuskan,” ujar beliau.
Kata beliau, kempen boikot untuk barangan yang ada kena mengena dengan rejim zionis dan Amerika Syarikat harus diteruskan.
“Jihad ekonomi untuk menyokong negara Islam harus dikuatkan, jangan hanya bercakap di bibir, tetapi hati dan diri masih mengikut telunjuk mereka.
“Keputusan Putra tidak mahu kerajaan Malaysia terlibat secara langsung bersama syarikat yang bersengkokol dengan Israel dan kita menolak keras hasrat kerajaan membenarkan syarikat BlackRock membeli saham MAHB.
“Memorandum dari Putra dan HTM mewakili umat Islam Malaysia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan semula keputusan kerajaan berkaitan Black Rock,” katanya.
Jelas Mohamed Shahrin, penolakan itu bukan sahaja dari umat Islam Malaysia, malah kaum minoriti juga tidak bersetuju dengan keputusan tersebut sehingga ada antaranya melakukan mogok. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252