Siri Ke-15: Kak Lah sedar tidak dibelai seperti anak yang lain

Siri Ke-15: Kak Lah sedar tidak dibelai seperti anak yang lain

KAMPUNG Dalam Lanas, Tumpat, Kelantan ialah sebuah kampung tradisional Melayu pedalaman yang serba kekurangan. Di situlah Kak Lah membesar dan riang seperti kanak-kanak lain seusianya.

Namun, ada sesuatu yang berlaku. Hanya pada hari ini dia dapat memahaminya. Di samping kesusahan hidupnya, Kak Lah sedar dia tidak dibelai seperti anak-anak yang lain oleh ayahnya, Hussin. Ayahnya tidak pernah mendukungnya, apatah lagi memeluk atau menciumnya. Kak Lah dibiarkan menangis sendirian jika ibunya sibuk. Kalau Kak Lah jatuh atau menghadapi masalah, dia tidak akan dibantu.

Sehinggalah Kak Lah remaja, Hussin tidak akan menegur atau memberikan apa-apa komen terhadap dirinya. Kak Lah seperti dibiar membesar dengan satu lapisan tembok yang terbina antara kedua-duanya. Hussin seperti faham peranannya sebagai penjaga Kak Lah yang dibuatnya dari jauh, tetapi dekat, di dalam sebuah rumah yang sama.

Hanya ibunya menunjukkan kasih sayang tanpa membezakan dengan adik beradik yang lain. Kak Lah lebih banyak didukung dan dimanjakan oleh kenalan keluarganya, yang selalu bertandang di rumahnya. Di situlah satu-satunya gambarnya diambil sebagai tanda kenangan layanan mesra jirannya itu.

Namun, ayahnya Hussin tidak pula menunjukkan sebarang kebencian kepadanya. Kak Lah tetap dibesarkan dan disekolahkan mengikut kemampuannya. Dia juga tidak memanggil Kak Lah dengan sebarang nama. Dia hanya menyebut “demo lah” sebagai panggilan kepada Kak Lah.

Oleh itu, Kak Lah membesar dengan adik beradiknya yang lain tanpa berasa terpinggir kerana pada kefahamannya, ayahnya ialah Hussin, seperti adik beradiknya yang lain. Mereka berbinti dan berbinkan Hussin tanpa ada perbezaan. Seorang anak kecil sepertinya, tidak mungkin akan memahami apa yang tersirat dalam hati ibu dan ayahnya itu.

Pada usia tujuh tahun, Kak Lah bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tumpat, iaitu satu-satunya sekolah Inggeris yang ada di jajahan Tumpat. Pada tahun itu juga, satu kejadian yang masih diingatinya ialah tragedi sawah terbakar, yang meliputi hampir 10 ekar keluasannya.

Kejadian ini telah membuatkan seluruh penduduk Kampung Dalam Lanas dan sekitarnya keluar membantu untuk memadamkan api yang merebak kawasan sawah tersebut. Kejadian ini sama seperti terjadinya kebakaran besar di tengah-tengah bandar Kota Bharu yang dipanggil tragedi Api Samba pada tahun 1966.

Ini didengarnya daripada cerita lisan penduduk kampungnya. Akhirnya kebakaran yang melanda kawasan sawah padi itu dapat dipadamkan oleh bomba. Mereka mengambil masa hampir setengah hari untuk memadamnya.

Selang setahun selepas kejadian kebakaran itu, pada suatu malam bulan Disember 1967, Kak Lah melihat satu kejadian yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kak Lah memang sukar tidur pada waktu malam. Dia kerap terjaga dan tidak dapat tidur sehingga waktu pagi.

Pada malam itu, seperti biasa Kak Lah, yang tidak dapat tidur, telah termenung di jendela melihat gelap malam yang hening. Hanya bunyi cengkerik menjadi iramanya. Matanya menyorot kosong kepekatan malam yang tidak berbintang itu. Tiba-tiba dia melihat seekor haiwan gergasi seperti naga terbang melintasi sawah dan menuju ke laut.

Kak Lah menjadi terkejut dengan pandangannya itu. Dia menjadi takut dan terus merebahkan diri di tempat tidurnya. Dia masih tergamam dengan apa yang dilihatnya itu. Kain selimut cepat-cepat ditarik membungkus badannya. Matanya ditutup erat-erat. Suasana pada malam itu seolah ingin memberitahu kedatangan hujan musim tengkujuh yang luar biasa akan melanda.

Namun, apa yang dilihat beliau malam tadi dan bisikan di hatinya seakan menjadi suatu kebetulan pada realitinya. Pada hubung tahun 1967, satu banjir besar atau digelar dengan Bah Merah telah berlaku di seluruh Kelantan.

Pada masa sama juga, ada penduduk bercerita, mereka melihat seekor naga yang besar berenang merentasi banjir besar itu. Mereka melihatnya sehingga naga gergasi itu hilang dari pandangan.

Kak Lah terus bercerita kepada ibunya mengenai naga gergasi yang dilihatnya pada beberapa malam sebelum itu. Ibunya yang kenal anaknya itu, mengiyakan sahaja.

Bah Merah yang melanda sekitar bulan Disember 1966 sehingga Februari 1967 itu adalah bah yang paling besar pernah berlaku di Kelantan. Bah paling lama berlaku, iaitu hampir tiga bulan. Banjir ini berlaku kerana empangan di Hulu Kelantan telah pecah akibat tidak dapat menampung air yang berlebihan. Purata hujan turun melebihi daripada kebiasaan. Hujan turun terlalu lebat sepanjang hampir tiga bulan itu.

Ketika itu, semua pekan kecil dan besar ditenggelami air lebih dari beberapa meter. AKtiviti perniagaan hampir lumpuh. Pergerakan orang ramai juga menjadi terbatas. Mereka terpaksa bergerak dengan mengharung air banjir. Air yang bertakung itu tidak dapat bergerak ke mana-mana kerana sungai dan laut telah penuh dengan air hujan.

Masyarakat Kampung Dalam Lanas yang menjadi tempat tinggal Kak Lah sekeluarga mempunyai pelbagai watak dan karakter yang menarik. Pemilik rumah sewa yang dihuni oleh Kak Lah sekeluarga itu bernama Pok Po, iaitu seorang lelaki yang separuh umur dan kurang siuman.

Pok Po menjadi kurang siuman akibat amalan ilmu yang bertentangan dengan Islam sehingga menyebabkan beliau menjadi hampit tidak siuman dan ganjil perangainya. Semua masyarakat kampung itu tahu amalan ilmunya yang bertentangan dengan Islam. Mereka membiarkan sahaja keadaannya.

Pada pertengahan tahun 1967, di kawasan jajahan Tumpat itu cukup terkenal dengan sebuah permainan budaya, iaitu Menora yang dilakukan oleh masyarakat Melayu dan Siam.

Menora dipercayai berasal dari utara Thailand, yang digelar sebagai “Nora”. “Nora” ialah satu konsep kepanasan dalam semangat air. Permainan ini juga dilihat sebagai satu persembahan pemujaan yang menggunakan rotan dan limau purut sebagai simbol untuk membangkitkan semangat dalam diri. Ada antara anggota masyarakat Melayu di Kampung Dalam Lanas ini telah mengamalkan pemujaan ini kerana mereka bercampur baur dengan masyarakat Siam.

Kak Lah bersama anaknya
Kak Lah bersama anak

Kedudukan geografi yang berhampiran dengan sempadan Thailand dan perkampungan Siam di Terbak dan Kelaboran, Tumpat juga menjadikan amalan budaya Menora ini sangat sinonim dengan masyarakat Melayu di situ.

Amalan budaya lama seperti memuja roh orang yang mati juga menjadi perbuatan yang selalu dilakukan oleh anggota masyarakat kampung. Mereka masih percaya kepada konsep animism. Sebenarnya, walaupun mereka telah beragama Islam, tetapi amat sukar untuk mereka meninggalkan adat budaya Melayu lama.

Pengajaran Islam pada masa itu juga tidak begitu kuat untuk mengubah keadaan itu. Kepercayaan kepada semangat alam dan keramat masih berleluasa dalam masyarakat Melayu, terutama di kawasan pedalaman. Kadang-kadang kawasan pedalaman ini tidak mempunyai prasaran yang cukup untuk memajukan pemikiran masyarakatnya. Pada tahu 1960-an, pemodenan masih asing bagi kebanyakan kawasan pedalaman negara.

Pada satu malam yang hening, sewaktu sedang termenung memandang keluar jendela, Kak Lah telah melihat kelibat Mak Cik Saadiah yang berada di halaman rumahnya dengan bertemankan cahaya api lilin di tapak tangannya. Oleh sebab Kak Lah ingin tahu apa yang berlaku, dia memberi perhatian penuh kepada segala pergerakan Mak Cik Saadiah yang agak mencurigakan itu.

Daripada tindakan dan perbuatannya, ternyata Mak Cik saadiah sebenarnya mengamalkan ilmu memuja roh atau jin bagi memberi semangat atau kekuatan kepada jasad dirinya. Caranya dengan menjamu roh atau jin itu, pulut kuning dan ayam Jantan hitam yang diletakkan di atas sebuah para atas busut. Kak Lah melihat perbuatan Mak Cik Saadiah sehingga selesai. Dia berasa hairan mengapa perkara seperti itu dilakukan. Namun, dia terlalu muda untuk menentang amalan syirik itu.

Pada tahun 1968, emak Kak Lah berniaga pisang goreng, manakala ayahnya pula bekerja di kedai dobi setelah berhenti dari pasukan Askar Wataniah. Mereka sekeluarga kemudiannya berpinda ke Kampung Sedar, Terbak ketika Kak Lah berusia sembilan tahun.

Pada ketika itu, emak Kak Lah iaitu Mek Jah telah mengambil semula anak  sulungnya yang sebelum ini dijaga oleh bekas ibu mentuanya di Machang. Kemudian mereka telah berpindah ke Langgar, Jalan Pasir Puteh dan kemudiannya berpindah ke rumah nombor 4006B, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu.

Kak Lah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Langgar dari darjah empat hingga darjah enam. Ketika itu, emak Kak Lah berniaga buah-buahan dengan dibantu suaminya. Kak Lah meneruskan persekolahan di peringkat menengah di Sekolah Menengah Puteri.

Zaman remaja Kak Lah dilalui dengan penuh bersemangat, dalam pelbagai versi dan variasi. Cuma jiwa seseorang itu sahaja dapat mencorakkan jenis suasana yang dilalui. Itulah rahsia Allah SWT dalam menjadikan setiap manusia dengan pelbagai telatah.

Begitu juga pengalaman yang dilalui oleh Kak Lah pada zaman remaja era 70-an. Beliau sememangnya amat meminati dan berbakat dalam tarian tradisional, nyanyian dan Menora. Justeru, semasa di bangku sekolah lagi, Kak Lah selalu menyertai pertandingan yang dianjurkan.

Kak Lah selalu beroleh kejayaan. Dia menjadi bintang yang terserlah dalam kalangan kawan. Malah, beliau selalu diberi tugas untuk menjadi ketua dalam projek kebudayaan dan kegiatan sekolah. Kepimpinannya jelas kelihatan.

Kak Lah bercerita, dia mempunyai beberapa pengalaman yang menarik untuk dikongsi. Rambutnya memang disimpan panjang sejak kecil. Namun, pada suatu hari tanpa sebab yang jelas, ayahnya Hussin telah memotong rambutnya pendek sekali. Hussin telah meletakkan mangkuk besar di atas kepalanya dan memotong rambutnya mengikut bentuk mangkuk itu.

Apabila siap, keadaan rambutnya amat menggelikan hati. Dia sendiri tidak setuju dengan potongan rambut itu. Sudah tentu kawan-kawannya di sekolah akan mentertawakannya. Dia tentu malu. Maka, dia telah membungkus rambutnya dengan tuala good morning apabila pergi ke sekolah. Malah, di rumah pun kadang-kadang dia tidak membukanya kerana bimbang ditertawakan oleh adik beradiknya. Kak Lah memakai tuala itu sehingga beberapa bulan lamanya. k

Bagaimanapun, pada suatu hari, gurunya telah memaksa Kak Lah membuka tudung kepalanya. Ini kerana dia telah dipilih untuk menyanyi dalam satu pertunjukan kebudayaan sekolahnya sempena Hari Keputeraan Sultan yang dibuat di Istana Tepi Sungai. Kak Lah telah dipilih menjadi ketuanya.

Kak Lah dengan berat hati membiarkan gurunya menanggalkan tuala itu. Terhurailah rambut Kak Lah yang ikal mayang. Kak Lah sendiri tidak sedar rambutnya itu begitu cantik dan telahpun panjang. Dia tersenyum apabila guru perempuan itu memuji rambutnya. Rambut Kak Lah telah dikemaskan dengan cantik dan diikat reben sebagai penyerinya. Kak Lah kelihatan cantik sekali di atas pentas dan nyanyiannya mendapat tepukan yang gemuruh. Keyakinan dirinya kembali pulih.

Satu sifat yang aneh, yang berlainan daripada remaja lain dan sering menjadi perhatian mereka yang terdekat dengan Kak Lah sama ada keluarga atau teman-teman ialah beliau mempunyai sifat yang tidak boleh melihat sesuatu yang melayang atau bergerak secara perlahan seperti buaian yang dihayunkan, kain langsir yang ditiup angin dan sebagainya. Beliau akan berasa tidak selesa. – NasionalDaily Bersambung

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *