Saya dedikasikan selama hidup saya untuk negara - Dr Mahathir

Saya dedikasikan selama hidup saya untuk negara – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi ucapan sempena hari lahirnya yang ke-99 hari ini.

Menerusi audio ringkas yang dikongsikan itu, Dr Mahathir berkata, beliau mendedikasi seluruh hidupnya kepada negara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas ucapan yang bermakna sempena hari lahir saya pada usia 99 tahun.

“Saya pun tidak tahu berapa lama lagi masa yang saya ada. Saya dedikasikan selama hidup saya untuk negara.

“Terima kasih atas sokongan sebelum ini yang anda berikan dan ucapan sempena hari lahir saya,” katanya ringkas yang dipetik Berita Harian sebagai melaporkan.

Dr Mahathir dilahirkan di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah pada 10 Julai 1925, namun tarikh kelahiran rasmi beliau direkodkan pada 20 Disember 1925.

Beliau anak bongsu daripada sembilan beradik kepada pasangan suami isteri, Mohamad Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanafi.

Sebelum berkecimpung dalam bidang politik, beliau memulakan kerjaya sebagai seorang doktor dan menubuhkan kliniknya sendiri, Klinik Maha, yang juga klinik swasta milik orang Melayu yang pertama di negara ini.

Beliau memasuki bidang politik pada 1964, bertanding dan memenangi kerusi Kota Setar pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1964.

Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri ke-4 pada 16 Julai 1981, menyandang jawatan itu untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu 22 tahun.

Beliau dikenali sebagai Bapa Pemodenan atas kejayaanya menukarkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden.

Berdasarkan biografi dalam laman web Pejabat Perdana Menteri, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

Bagaimanapun, pada 2016, Dr Mahathir muncul kembali dalam politik dengan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).

Pada 2018, dalam satu kejutan politik, BERSATU dan parti-parti bersekutunya, memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Pada usia 93 tahun, Dr Mahathir sekali lagi dilantik menjadi Perdana Menteri ke-7. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *