Tajuk Utama
    PN terima keputusan, terus istiqamah dalam perjuangan – Muhyiddin

    Tiada kekosongan 6 kerusi Parlimen

    KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan telah menerima surat dari Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung status enam Ahli Parlimen parti itu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

    Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu diterima Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran pada petang semalam.

    Menurutnya, Tan Sri Johari Abdul menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam Ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dikosongkan.

    “Keputusan YB Speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
     
    “Keputusan YB Speaker dengan memberikan alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan YB Speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan.
     
    “Sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negara,” katanya.
     
    Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen pada Rabu yang turut dihadiri Ahli Parlimen PN.
     
    Tambah beliau, Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas, kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut.
     
    Dalam situasi itu, tegas Muhyiddin, jelas enam Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak lagi menjadi ahli Bersatu berikutan dengan peruntukan perlembagaan parti.
     
    “Keputusan YB Speaker adalah bercanggah dengan peruntukan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang.
     
    “Hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk menafsirkan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
     
    Pengerusi PN itu turut menggesa Johari untuk menegakkan tujuan dan hasrat sebenar peruntukan 49A Perlembagaan Malaysia.
     
    Tegasnya, peruntukan itu bertujuan mengekang perbuatan khianat ahli Dewan Rakyat yang menodai mandat rakyat semasa pilihan raya.
     
    “Hakikatnya, keputusan YB Speaker ini sendiri telah mengkhianati semangat dan hasrat murni pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti.
     
    “Sehubungan itu, Bersatu memutuskan mengambil langkah susulan dengan melantik pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Parti Bersatu.
     
    “Perikatan Nasional mengingatkan semua parti politik dan ahli dewan rakyat bahawa kita telah meluluskan pindaan perkara 49A secara sebulat suara.
     
    “Maka, tindakan YB Speaker membuat tafsiran yang mencemar peruntukan lompat parti tersebut harus dicela,” katanya. – ND

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *