BERITA UTAMA
Dah tentu 6 MP boleh tarik nafas lega

Dah tentu 6 MP boleh tarik nafas lega

LEGA.. itulah yang boleh dinyatakan mengenai perasaan enam Ahli Parlimen bekas Parti Bersatu, apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyatakan tidak akan mengisytiharkan kerusi mereka dikosongkan.

Yang tak lega dan tak puas hati tentulah pimpinan dari Parti Bersatu. Mereka mengharapkan enam kerusi Parlimen itu dikosongkan dan diadakan pilihan raya kecil untuk dirampas semula.

Tapi, malangnya harapan mereka tak menjadi kenyataan. Biasalah, pembangkang tidak boleh menaruh harapan pihak kerajaan akan memberi keputusan yang memuaskan hati, walaupun mereka mendakwa berlaku pelanggaran akta dan perlembagaan parti.

Keputusan atas sesuatu akta ini sama seperti lain padang, lain belalang. Tafsiran pihak kerajaan tentunya tidak akan sama dengan tafsiran pembangkang, walaupun mereka merujuk kepada akta yang sama.

Tafsiran sesuatu akta boleh berubah bila-bila masa walaupun dianggap tidak logik. Pembangkang kata, mengikut perlembagaan mereka, enam kerusi berkenaan perlu dikosongkan, tetapi kepada pihak kerajaan yang menentukan, mengatakan tidak perlu dikosongkan.

Adakah salah satu daripada dua pihak ini cuba mempermainkan akta mengikut tafsiran tersendiri? Tepuk dada tanya selera. Keputusan yang mengecewakan pembangkang bukan perkara baharu dan bukan baharu berlaku.

Ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan dahulu pun, mereka buat perkara yang sama kepada Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pembangkang. Begitu juga ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, pun buat benda yang sama kepada pihak pembangkang.

Sekarang, sesiapa sahaja menjadi pembangkang, harus terima kenyataan dan hakikat itu. Mereka tidak akan merasa ketidakpuasan hati dengan tindak tanduk kerajaan.

Dalam hal ini, perlembagaan parti dan akta tidak salah. Perlembagaan mendapat kelulusan daripada ahli parti, manakala akta pula mendapat suara majoriti ahli Dewan Rakyat. Tetapi, kerana mainan politik, perlembagaan dan akta boleh diputarbelitkan mengikut selera masing-masing.

Kita tengok kes di DUN Kelantan. Bawah perlembagaan parti yang sama dan bawah akta yang sama, Speakernya Datuk Mohd Amar Abdullah buat keputusan ada keraguan munasabah untuk mengosongkan kerusi DUN Nenggiri.

Tetapi, bawah perlembagaan parti yang sama dan akta yang sama juga, DUN Selangor masih memeram jawapannya terhadap ADUN Selat Klang.

Kenapa? Sebab DUN Kelantan dan Speakernya bergabung bersama Parti Bersatu bawah PN, sudah tentu keputusan yang dibuat akan memihak kepada rakan gabungannya.

Begitu juga DUN Selangor. Pemerintahannya bawah PH dan ADUN Selat Klang walaupun dari Parti Bersatu dan musuhnya, tetapi kerana mengisytiharkan sokongan kepadanya, tentulah keputusannya nanti bakal mempertahankan ADUN yang pro mereka.

Jadi, apa guna pindaan perlembagaan dan akta? Kedua-duanya hanya hiasan sahaja. Sedangkan, keputusan mutlak terletak kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk menentukan.

Sesiapa pun tidak boleh pertikaikan kerana itulah politik. Sistem politik berbeza dengan badan kehakiman. Di mahkamah, setiap keputusan dibuat berdasarkan fakta. Hakim menjatuhkan hukuman secara adil. Kalau salah hakim kata salah, kalau tak salah hakim kata tak salah.

Lain dengan politik. Yang salah pun boleh dipertahankan kata tidak salah. Sementelah yang tidak bersalah dikatakan bersalah. Itulah bezanya politik dengan badan kehakiman. Politik buat keputusan ikut kepala otak, hakim buat keputusan ikut fakta dan bukti.

Oleh itu, tak ada maknanya kalau Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa terkejut, kecewa dan dukacita dengan jawapan Speaker Dewan Rakyat. Beliau kena tengok Speaker itu orang belah mana. Kalau musuh kita, jangan harap keputusannya positif.

Muhyiddin tidak boleh salahkan enam Ahli Parlimen dan seorang ADUNnya, kerana beliau sendiri pun dahulu pernah lompat parti. Beliau dari UMNO lompat menubuhkan Parti Bersatu. Tidak ada pun UMNO ketika itu nak pinda perlembagaan atau desak beliau letak jawatan atau kosongkan kerusi Parlimen Pagoh.

Beliau dibiarkan UMNO berada di luar parti. UMNO tidak hairan pun beliau lompat parti kerana ketika itu belum ada lagi Akta Lompat Parti. Sekarang, beliau menerima hukuman daripada apa yang pernah dilakukannya dahulu terhadap UMNO.

Mungkin Speaker Dewan Rakyat ambil kira tindakan Muhyiddin dahulu dan ini yang dikatakan asbab kepada hukum karma. Kalau Muhyiddin panas punggung dengan keputusan Speaker, inilah yang dirasai UMNO suatu ketika dahulu atas perbuatannya lompat parti.

Untuk tempoh sekarang ini, enam Ahli Parlimen bekas Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim boleh terus berulang alik ke Parlimen dan masih dapat menikmati elaun kehadiran.

Cuma Ahli Parlimen Gua Musang yang juga ADUN Nenggiri tidak boleh hadir ke sidang DUN Kelantan sebab status wakil rakyatnya sudah dibatalkan dan SPR pun sudah menetapkan tarikh pilihan raya kecil Ogos ini.

Pak Dee nak nasihatkan kepada pemegang kuasa dan mereka yang diberi amanah memegang kuasa, jagalah elok-elok Akta Lompat Parti, jangan kerana perbuatan kita nanti, rakyat akan tukar kepada Akta Lompat Parit. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *