BERITA UTAMA
Keropok beracun: Saya sempat bisik, reda jika dia 'mahu pergi' - Ibu

Keropok beracun: Saya sempat bisik, reda jika dia ‘mahu pergi’ – Ibu

GEORGE TOWN – Ibu kepada kanak-kanak yang meninggal dunia akibat termakan keropok bercampur racun, reda dengan pemergian anak sulungnya, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, pagi tadi.

Nurain Hasnorizal, 25, sempat melihat keadaan Muhammad Akil dan mengusap pipi serta tangannya jam 7 pagi sebelum dia menghembuskan nafas terakhir jam 8.30 pagi.

“Saya sempat bisik ke telinganya, saya kata saya reda jika dia ‘mahu pergi’,” katanya sebak.

Mengulas lanjut Nurain berkata, urusan bedah siasat hampir selesai dan jenazah akan dibawa ke Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kulim bagi disemadikan.

Sementara itu, ditanya mengenai seorang lagi anaknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, yang dirawat akibat kejadian sama, Nurain berkata anak bongsunya masih kritikal.

Dalam pada itu, Nurain berkata mereka sekeluarga belum terfikir untuk mengambil sebarang tindakan kerana masih buntu dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.

Nurain berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), di George Town hari ini.

Muhammad Akil Syauqi dilapor menghembus nafas terakhir jam 8.30 pagi tadi di HPP, manakala adiknya Muhammad Luth Syauqi, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik HPP.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun dilaporkan kritikal selepas dipercayai makan keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.

Makanan ringan itu dipercayai digantung pada pagar dawai kebun berhampiran rumah mereka, bertujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman.

Kedua-dua kanak-kanak malang berkenaan dikejar ke HPP selepas menerima rawatan di Hospital Kulim. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *