BERITA UTAMA
MSN masih tunggu maklum balas negeri berhubung penganjuran Sukan SEA 2027

MSN masih tunggu maklum balas negeri berhubung penganjuran Sukan SEA 2027

KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) masih menunggu maklum balas dari negeri lain yang berkemungkinan berminat menjadi penganjur bersama temasya Sukan SEA 2027.

Ketua Pengarah MSN Abdul Rashid Yaakub berkata, setakat ini tiga negeri telah memberikan maklum balas iaitu Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah yang menjadi negeri terbaharu berbuat demikian.

“Setakat ini seperti dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Pulau Pinang dan Sarawak memang pasti berminat.

“Paling baharu ialah Sabah dan pada masa sama dalam minggu ini, urus setia juga sedang kemas kini daripada negeri-negeri berhubung keputusan mereka sama ada mahu terlibat ataupun tidak.

“Patutnya paling akhir minggu ini kita dapat jawapan, tapi sedang kemas lagi kerana ada sebahagian negeri belum dapat memutuskan perkara tersebut. Kita bagi tempoh sikit lagi kepada negeri untuk bagi maklum balas kerana negeri ada proses dan tatacara untuk menyampaikan keputusan,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Setakat ini difahamkan pendirian Sabah berhubung penganjuran Sukan SEA 2027 masih belum diketahui memandangkan butiran maklum balas yang diberikan kepada MSN tidak didedahkan.

Sebelum ini, Sarawak bersedia untuk berkongsi kos penganjuran bersama kerajaan Persekutuan dengan syarat acara perasmian temasya sukan dan sebahagian acara lain diadakan di Bumi Kenyalang selain Pulau Pinang pula telah mengemukakan cadangan untuk mengadakan satu acara sukan di negeri berkenaan namun tidak memperincikan jenis sukan.

Abdul Rashid berkata pihaknya kini sedang menyediakan kertas kajian impak penganjuran Sukan SEA 2027 yang mengandungi maklumat perincian berkaitan kos dan jenis sukan kepada Kabinet yang dijangka diselesaikan sebelum temasya Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan menilai semula sekiranya banyak negeri berminat dalam penganjuran temasya dwitahunan itu dnegan mengambil kira kos pengeluaran.

“Ini saya kena jelaskan. Kita akan angkat cadangan, namun persetujuan untuk hos ini belum tentu lagi, tapi semua perincian ini kita sedang sediakan dan akan diangkat ke mesyuarat Jemaah Menteri kemudian.

“Sebenarnya banyak maklumat yang dah disediakan cuma perlu perelokkan lagi lebih kurang 10 hingga 20 peratus. Kita lebih banyak menunggu maklumat negeri,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *