BERITA UTAMA
Tiada kerjasama UMNO-Pas: Hadi Awang enggan ulas kenyataan Zahid Hamidi

Tiada kerjasama UMNO-Pas: Hadi Awang enggan ulas kenyataan Zahid Hamidi

KOTA BHARU – Tan Sri Abdul Hadi Awang enggan mengulas bayangan menerusi kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa tidak akan ada kerjasama antara Pas dan UMNO selagi Presiden itu masih memegang jawatan kanan parti.

Sebaliknya, beliau menyerahkan kepada orang lain atau rakyat untuk menjawab apa yang disebut Presiden UMNO itu beberapa hari lalu.

“Biar orang lain jawablah, saya tak payah jawab yang itu atau bagi rakyat jawab.

“Pihak cawangan (Pas) pun boleh jawab,” kata Abdul Hadi kepada pemberita selepas Persidangan Antarabangsa Kelantan Membangun Bersama Islam 2024 (Kelmic ‘24), di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Kelmarin, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang tidak konsisten dengan keputusan yang sudah dipersetujui dalam perbincangan secara bersemuka.

Untuk rekod, UMNO dan Pas pernah membentuk kerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN) selepas berakhirnya PRU ke-13 pada 2018, namun hubungan itu terlerai sekitar 2022.

Tidak lama selepas itu, Pas membuat keputusan menerima Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai rakan kerjasama politik atas nama penyatuan ummah.

Kini, UMNO dan BN membentuk blok Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan dan parti dari Sabah serta Sarawak, dengan Pas berada di blok pembangkang.

Pas kini mempunyai 43 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, menjadikan mereka blok parti Melayu terbesar setakat ini, sementara UMNO pula diwakili 26 Ahli Parlimen.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *