BERITA UTAMA
Suri rumah rugi RM126,490 terperdaya tawaran kerja palsu

Suri rumah rugi RM126,490 terperdaya tawaran kerja palsu

JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah rugi RM126,490 selepas terperdaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian palsu yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan pada Jumaat lalu dari seorang wanita berusia 44 tahun yang mendakwa ditipu kenalan “alam maya” selepas menawarkan pekerjaan itu.

Beliau berkata, mangsa mula mendaftar melalui pautan yang diberi suspek pada awal Mei untuk menjual pakej bilik hotel yang tertera di laman web terbabit, selain perlu membuat pembayaran modal.

“Mangsa dijanjikan komisen hingga 15 peratus daripada harga pakej yang berjaya dijual, manakala komisen 10 peratus pula sekiranya berjaya menjual pakej hotel kurang lima bintang.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan telah membuat 17 transaksi pindahan wang secara dalam talian ke enam akaun berbeza bermula 17 hingga 28 Mei dengan keseluruhan berjumlah RM126,490,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, wanita itu hanya sedar ditipu apabila tidak berjaya mengeluarkan wang komisen diterima, sebaliknya suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan seorang lagi suri rumah rugi RM100,000 apabila terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud, sekitar bulan Mac dan April lalu.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, wanita berusia 31 tahun itu berminat dengan pelaburan yang disediakan oleh sebuah syarikat menerusi platform media sosial Facebook.

“Mangsa menghubungi nombor tertera sebelum diarahkan suspek iaitu seorang wanita berusia 30an yang memberitahu keuntungan sebanyak 50 peratus akan diberi dalam tempoh sebulan selepas pelaburan dibuat.

“Mangsa kemudian bertemu dengan wanita berkenaan pada 30 April lalu sebelum membuat sembilan transaksi berjumlah RM100,000 ke dalam sebuah akaun syarikat,” katanya sambil menambah mangsa kemudian membuat laporan polis setelah tidak menerima hasil daripada keuntungan berkenaan.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *