BERITA UTAMA
Kerajaan baharu ni angkuh, sombong – sindir Shahidan

Kerajaan baharu ni angkuh, sombong – sindir Shahidan

KUALA LUMPUR – Peribahasa menyebut, sudah gaharu cendana pula, sudah tahu, bertanya pula, sindir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa kepada pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan status pembangunan Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang dibangkitkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurutnya, sebagai bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan sudah pasti tahu banyak perkara berkaitan pembangunan di kawasan berkenaan.

Kata beliau, projek pembangunan tertangguh itu merupakan isu legasi diwarisi beberapa pentadbiran kerajaan daripada latar belakang yang berbeza.

Jelasnya, selepas tertangguh sekian lama, pecah tanah projek itu dijangka boleh diadakan pada penghujung tahun ini, manakala pelaksanaan pembinaan  dimulakan pada suku pertama 2025.

Tegas beliau lagi, kerajaan sudah mengambil kira pandangan banyak pihak sebelum melakukan kerja-kerja pembangunan di kawasan tersebut, termasuk penduduk di sana, lapor Astro Awani.

“Jadi saya berharap semua pihak termasuk orang awam dapat memahami mengapa proses peruntuhan ini perlu diteruskan dan tidak terpengaruh dengan hantaran yang dibuat di media sosial.

“Saya rasa cukup-cukuplah untuk kita berlakon dan kemudian bercakap tanpa fakta. Kita kena cakap dengan sesuatu yang berfakta dan kita cuba cari penyelesaian terbaik.

“Insya-Allah, saya pun sudi berkawan dengan Yang Berhormat (Arau), jangan risau. Kita boleh, nanti minum teh untuk kita cerita lebih panjang lagi kerana ini perlukan masa lebih lama untuk saya menjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu, menjawab soalan Shahidan yang bertanya perkembangan terkini pembangunan di Kampung Sungai Baru yang isu tersebut kembali hangat baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shahidan turut memberi respons kepada Dr Zaliha, menjelaskan beliau bertanya soalan tersebut susulan kenyataan daripada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurutnya, beliau bukan “sudah tahu tapi bertanya pula”, sebaliknya menegaskan memang tidak mendapat maklumat terkini daripada Kerajaan Perpaduan berhubung isu tersebut.

“Speaker, Ahli Parlimen Titiwangsa, dia keluarkan kenyataan bahawa pemaju diminta serah balik tanah berkenaan kalau tak boleh maju, itu sebab saya tanya soalan.

“Walaupun Yang Berhormat kata sudah gaharu tapi tidak. Sejak kerajaan baharu ambil alih, saya tidak dapat maklumat kerana kerajaan sekarang bersikap angkuh, sombong, tak nak kawan dengan orang,” balasnya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *